Pengecas “Phone” Dipercayai Terbakar, Pesawat Bawa 127 Orang Penumpang Terpaksa Dikosongkan
NEW YORK – Kira-kira 127 orang terpaksa mengosongkan pesawat selepas pengecas telefon seorang penumpang dilapor terbakar hingga menyebabkan berlakunya keadaan menjadi cemas.
Memetik laporan Mirror UK, anggota kecemasan telah berjaya menyelamatkan penumpang dan mengosongkan pesawat 662 JetBlue di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK di New York pada petang Sabtu.
Dalam pada itu, tujuh penumpang mengalami kecederaan ringan temasuklah kecederaan di bahagian siku dan terhidu asap kebakaran.
Difahamkan, anak kapal telah memindahkan 67 penumpang dengan menggunakan sistem gelongsor kecemasan, manakala 60 penumpang yang lain keluar dari pesawat seperti biasa.
Menurut salah seorang penumpang yang turut berada di tempat kejadian, dia berasa sangat kagum apabila melihat kapten pesawat itu memadamkan api.
“Kapten keluar dari kabin lalu dia mengambil alat pemadam api dan bertindak seperti OJ Simpson di atas tempat duduk penumpang,” katanya.
Sementara itu, syarikat penerbangan JetBlue memaklumkan bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan nombor satu mereka, malah pihak mereka sedang menyiasat insiden yang berlaku dengan penyelarasan bersama FAA dan NSTB.
Sumber: Mirror UK