Siakap Keli
Gambar: Berita Harian Singapura

Sering Hantar Kawan Ke Masjid, Tersentuh Semangat Ukhuwah Jentik Hati Untuk Peluk Islam

Sering hantar kawan ke masjid menunaikan solat Jumaat ataupun Maghrib, seorang lelaki berusia 21 tahun memilih untuk memeluk Islam selepas tersentuh dengan budi baik yang ditunjukkan oleh rakan-rakan Muslimnya.

Lapor Berita Harian Singapura, Muhammad Farhan Yoong sering menumpangkan rakan-rakan Perkhidmatan Negara (NS) daripada anggota polis Singapura ke masjid untuk menunaikan solat.

Dia juga mula mengenali keindahan Islam selepas penyelianya Fadzil Abdul Rahman menperkenalkannya kepada jemaah masjid hingga dia menurut serta menjadi sukarelawan masjid berkenaan.

Difahamkan, jemaah masjid itu menerima Muhammad Farhan dengan tangan terbuka dan penuh mesra. Antara kerja kemasyarakatannya adalah dengan membantu kelas Quran di kawasan perumahan Jalan Kukoh.

Muhammad Farhan berkongsi mengenai pengalamannya dalam sebuah buku yang diterbitkan bertajuk A Reverent Journey: Masjid Omar Kampong Melaka: 1820-2020.

“Melihat teman Muslim saya membantu orang lain, saya menyedari melakukan kebaikan adalah sebahagian besar cara kehidupan masyarakat Islam.

“Mereka tidak mengasingkan agama daripada kehidupan, semuanya menjadi satu.

“Terdapat cara yang betul untuk melakukan perkara tertentu dan ia menjadi sebahagian hidup anda. Pendekatan sebegini adalah yang saya cari-cari. Justeru, saya menghadiri kursus agama dan akhirnya memeluk Islam,” memetik kata-katanya dalam buku itu.

Muhammad Farhan atau nama sebenarnya Yoong Chun Keat berasa tidak kekok apabila dikelilingi oleh masyarakat Islam yang tidak penat menunjukkan kegigihan dalam membantu golongan yang memerlukan di flat perumahan sekitar Jalan Kukoh.

Tugas sukarelawan yang dilakukan olehnya bersama rakannya yang lain termasuk mengambil guru agama bagi kelas Al-Quran dari rumah ke masjid beserta membawa makanan untuk pelajar dan sebagainya.

“Kami bukan sahaja membantu orang Muslim. Kami juga mengusahakan agar warga emas daripada semua kaum mendapatkan pemeriksaan perubatan percuma. Kami juga mendidik mereka tentang isu seperti risiko terjatuh.

“Hotel Seacare berdekatan menyediakan lokasi untuk pemeriksaan perubatan ini. Mereka yang hadir termasuk jemaah Masjid Omar Kampong Melaka.

“Saya kini buat lebih daripada setakat kerja kemasyarakatan untuk masjid ini – segala yang saya buat mencorak hidup saya menjadi insan yang lebih baik,” jelasnya.

Punyai fikiran terbuka dan optimistik

Sementara itu, Muhammad Farhan menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai pemikiran terbuka dan seimbang dalam membantu menjadikan dunia tempat yang lebih baik.

“Kalau ada masalah, saya cuba sebaiknya menghuraikannya. Orang kata buat kesilapan itu baik (agar dapat belajar daripada kesilapan).

“Tetapi saya secara peribadi berasakan tidak baik pula kalau saya bikin silap. Jadi saya cuba elakkan kesilapan.

“Saya bersikap optimistik, rasanya. Saya selalu meninjau cara bagaimana perkara tertentu dapat dilakukan dengan lebih baik lagi,” tambahnya.

Sumber: BH Singapura

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana