Dron Korea Utara Lintasi Ruang Udara, Korea Selatan Dilapor Lepaskan Tembakan Amaran
KOREA SELATAN – Tentera Korea Selatan dilapor telah melepaskan tembakan amaran dan melancarkan jet pejuang selepas dron milik Korea Utara melintasi sempadan negara itu.
Memetik laporan CBS News, Korea Utara dipercayai telah menceroboh ruang udara Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2017.
Menurut Ketua Turus Bersama (JCS), tentera Korea Selatan telah mengesan lima dron dari Korea Utara melintasi sempadan, manakala satu lagi mengembara jauh ke bahagian utara wilayah ibu kota Korea Selatan.

Susulan itu, tentera Korea Selatan melakukan serangan balas dengan melepaskan 100 das tembakan amaran dan melancarkan jet pejuang serta helikopter serangan untuk menembak jatuh dron Korea Utara.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan berkata, tiada laporan yang diterima mengenai kerosakan yang melibatkan orang awam di Korea Selatan.
Sementara itu, pihaknya turut menambah bahawa salah satu pesawat serangan yang digunakan iaitu pesawat ringan KA-1 telah terhempas semasa berlepas, namun kedua-dua juruterbang berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Selain itu, Korea Selatan juga menghantar aset pengawasan merentasi sempadan untuk mengambil gambar kemudahan ketenteraan utama di Korea Utara sebagai langkah yang sepadan terhadap penerbangan dron Korea Utara.
“Tentera kami akan bertindak balas secara menyeluruh dan tegas terhadap provokasi yang dilakukan oleh Korea Utara seperti ini,” kata pengarah operasi di Ketua Turus Bersama, Mejar Jeneral Lee Seung-o.
Sebelum ini, Korea Selatan mengesan dua pelancaran peluru berpandu balistik yang dilakukan secara jarak dekat oleh Korea Utara pada Jumaat yang lalu.
Sumber: CBS News