Pelancong Maut, Disyaki Terjatuh Dari Kereta Api Ketika Rakam Pemandangan
THAILAND – Seorang lelaki dari New Zealand dilapor maut selepas terjatuh dari sebuah kereta api di Thailand kira-kira jam 11.50 pagi di wilayah Kanchanaburi semalam.
Memetik laporan Daily Mail, mangsa yang berumur 45 tahun itu dipercayai bercuti ke Thailand dengan menggunakan visa pelancong pada 26 Disember yang lalu.
Difahamkan, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan sedang menggunakan tandas di dalam kereta api sebelum bertindak untuk membuka pintu di kawasan pintu gerabak.
Mangsa kemudiannya cuba menikmati pemandangan ketika kereta api tersebut melalui kawasan Gua Krasae dengan merakam video sebelum dilapor terjatuh kira-kira 10 meter dari landasan kereta api tersebut.
Menurut Mejar Polis Kiatisak dari balai polis Sai Yok, kejadian tersebut sempat dirakam oleh seorang saksi dimana mangsa dilihat terjatuh dari kereta api tersebut.
Pasukan penyelamat dan perkhidmatan kecemasan terus bergegas ke tempat kejadian, namun keadaan menjadi lebih sukar apabila pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan tersebut dan terpaksa menggunakan sistem takal untuk menurunkan mangsa dari kawasan itu.
Sementara itu, pihak polis turut berkata bahawa mangsa hampir kehilangan nafasnya selain mengalami kecederaan patah leher dan tangan kanan.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa selama 30 minit namun usaha tersebut gagal sebelum mangsa dilapor meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan kejadian, polis memaklumkan bahawa proses bedah siasat penuh akan dijalankan pada hari Rabu di wilayah Bangkok.
Pihak mereka juga akan menghubungi kedutaan New Zealand di Thailand untuk memaklumkan kematian mangsa kepada keluarganya dan menyerahkan hak penjagaan mayat bagi proses pengebumian.
Landasan Kereta Api Burma itu dikenali sebagai ‘landasan kereta api maut’ yang menghubungkan Thailand dan Burma dan telah dibina oleh tentera Jepun pada tahun 1943 sewaktu Perang Dunia Kedua.
Sumber: Daily Mail, The Thaiger