Siakap Keli
saiz ekonomi malaysia
Gambar: Pixabay

Saiz Ekonomi Malaysia Dijangka Pintas Singapura Menjelang 2027 – Cebr WELT

Saiz Ekonomi Malaysia Dijangka Pintas Singapura Menjelang 2027 – Cebr WELT

Ekonomi Malaysia diramal bakal memintas kedudukan ekonomi Malaysia menjelang 2027 ini, menurut data yang diterbitkan oleh Jadual Liga Ekonomi Dunia (WELT) Cebr 2023-2027.

Menurut laporan tersebut, persaingan ekonomi kedua-dua buah negara berjiran ini akan berterusan dan pada 2037, ekonomi negara bakal muncul sebagai ekonomi ke 35 terbesar di dunia. Singapura sebelum ini memintas Malaysia pada 2015.

”Dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia dijangka akan memanjat kedudukan lebih tinggi dalam WELT, daripada kedudukan 41 pada 2022 kepada kedudukan 35 pada 2037.

”Lebih penting, Malaysia yang ketika ini ketinggalan enam anak tangga di belakang Singapura akan memintas negara tersebut dan berada empat tangga di atas menjelang 2027,” menurut laporan yang diterbitkan itu.

Dalam pada itu, WELT juga menyebut bahawa saiz ekonomi Malaysia pada 2022 adalah USD 382 bilion (RM 1.68 trilion). Pada 2027, saiz ekonomi Malaysia diramal pada USD 567 bilion (RM 2.5 trilion) dan mencecah USD 967 bilion (RM 4.27 trilion) pada 2037.

Peningkatan ini diperoleh berdasarkan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada purata 3.5 peratus setiap tahun dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Manakala bagi Singapura pula, saiz ekonominya pada 2022 adalah USD 421 bilion (RM 1.86 trilion). Pada 2027, saiz ekonominya dijangka adalah USD 565 bilion (RM 2.4 trilion) dan berkembang menjadi USD 869 bilion (RM 3.84 trilion) pada 2037.

Selain itu, bagi Indonesia, WELT turut menjangkakan negara dengan populasi keempat teramai di dunia itu akan berkembang menjadi ekonomi ke-17 terbesar di dunia pada 2027 dan mendaki ke posisi ke-11 pada 2037.

Ketika ini, saiz ekonomi Indonesia adalah USD 1.27 trilion (RM 5.65 trilion) dan dijangka berkembang kepada USD 1.91 trilion (RM 8.44 trilion) pada 2027. Pada 2037 pula, saiz ekonominya pula dijangka adalah USD 3.58 trilion (RM 15.84 trilion).

Sumber: World Economic League Table 2023

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.