Rapid KL akan melaksanakan kerja-kerja penggantian landasan di Laluan Kelana Jaya secara berperingkat mulai Ahad, 13 September ini.
“Kerja-kerja ini melibatkan penggantian landasan sedai ada dengan landasan baharu, selain aktiviti penyelenggaraan berkaitan bagi memastikan infrastruktur landasan sentiasa berada pada tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi,” kata Rapid KL dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Rapid KL turut memaklumkan penggantian landasan itu akan dilaksanakan dalam tujuh fasa dan dijangka selesai sepenuhnya pada September 2027.
Bagi kawasan yang mempunyai jajaran lengkung yang panjang, kerja-kerja penggantian memerlukan tempoh yang lebih lama.
“Sehubungan itu, bagi tarikh-tarikh yang ditetapkan, kerja-kerja tersebut akan dilanjutkan sehingga waktu pagi bagi membolehkan penggantian diselesaikan dengan sempurna,” maklum Rapid KL.
Jadual Kerja Penggantian Landasan Lama LRT Kelana Jaya

Rapid KL turut berkongsi jadual kerja penggantian landasan berkenaan, dengan stesen yang terlibat akan mula beroperasi pada jam 9.30 pagi pada tarikh yang dinyatakan, berbanding waktu operasi biasa pada jam 6 pagi.
Bagi stesen-stesen yang tidak terlibat dengan kerja-kerja, penggantian landasan, perkhidmatan tren akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian tanpa sebarang perubahan.
Mesin tiket di stesen yang terlibat akan ditutup sementara sehingga jam 9.30 pagi, namun pengguna masih boleh mendapatkan tiket di kaunter stesen.
Bagi pengguna pas Rapid KL dan kad Touch ‘n Go, perjalanan boleh diteruskan seperti biasa.
Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan yang menghubungkan stesen-stesen terlibat sepanjang tempoh kerja-kerja penggantian landasan dijalankan.
Kakitangan stesen, Polis Bantuan dan Prasarana Troopers akan ditempatkan di stesen serta stesen integrasi yang berkaitan bagi membantu penumpang.
Manakala papan tanda dan risalah maklumat turut disediakan sebagai panduan tambahan kepada pengguna.
Penumpang yang menggunakan Laluan Kelana Jaya, khususnya pada pagi Ahad yang terlibat disarankan menyemak maklumat terkini mengenai jadual kerja-kerja penggantian landasan, stesen yang terlibat dan perkhidmatan alternatif yang disediakan melalui laman web www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.

