Seorang lelaki Singapura, Malone Lam, 22, mengaku bersalah di mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas pertuduhan konspirasi jenayah terancang selepas terbabit dalam pencurian Bitcoin bernilai AS$245 juta (RM1.03 bilion).
Memetik BBC, Lam mengaku telah bekerjasama dengan beberapa rakan-rakannya untuk mencuri Bitcoin bernilai AS$245 juta (RM1.03 bilion) sebelum mencuci wang hasil kegiatan berkenaan.
Menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ), Lam dan rakan-rakannya menggunakan wang tersebut untuk berbelanja sehingga AS$500,000 (RM2.1 juta) bagi setiap kunjungan ke kelab malam.
Lelaki Singapura Mengaku Bersalah, Curi Mata Wang Kripto Di AS

Mereka turut membelanjakan hasil curian itu untuk membeli sejumlah kereta mewah dan eksotik dengan harga setiap kenderaan antara AS$100,000 (RM420,000) hingga AS$3.8 juta (RM16 juta).
Lam berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun namun tarikh prosiding hukuman masih belum ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Daerah AS, Colleen Kollar-Kotelly.
Dalam pada itu, Peguam AS, Jeanine Pirro berkata defendan telah mengetuai rangkaian antarabangsa yang menyasarkan mangsa menerusi penipuan, menceroboh privasi dan mencuri mata wang kripto bernilai ratusan juta dolar.
“Jika anda bina empayar jenayah siber, kami akan mencari anda, lumpuhkan operasi anda dan pastikan anda bertanggungjawab atas perbuatan tersebut,” kata Peguam AS, Jeanine Pirro.
Lam memberitahu pihak berkuasa AS bahawa dia berhenti sekolah menengah di Singapura pada usia 14 tahun dan berhijrah ke AS pada Oktober 2023 sebelum terus berada di negara itu selepas visa miliknya tamat pada Januari 2024.
Menurut dokumen mahkamah, komplot itu bermula selewat-lewatnya pada Oktober 2023 dan berterusan sehingga sekurang-kurangnya Mei 2025.
Rakan subahatnya berasal dari California, Connecticut, New York, Florida serta beberapa lokasi di luar AS dan mereka berkenalan menerusi platform permainan dalam talian.
DOJ turut memaklumkan Lam, yang turut menggunakan nama Anne Hathaway, $$$ dan King Greavy merupakan dalang utama kumpulan jenayah itu.
Dia dipercayai bertanggungjawab mengenal pasti mangsa serta menyelaraskan peranan setiap individu yang terlibat dalam komplot berkenaan.
Menurut DOJ, kumpulan itu memperdaya mangsa untuk menyerahkan maklumat sulit, selain memecah masuk kediaman mangsa untuk mendapatkan maklumat yang membolehkan mereka mencuri mata wang kripto mangsa.
Hasil mata wang kripto yang dicuri itu digunakan untuk membeli beg tangan Hermes Birkin bernilai puluhan ribu dolar hanya untuk dicampakkan kepada orang ramai di kelab malam.
Antara barangan lain yang turut dibeli menggunakan hasil kegiatan tersebut termasuk jam tangan mewah bernilai AS$500,000 (RM2.1 juta) dan pakaian mewah bernilai puluhan ribu.

Selain itu, Lam dan rakan-rakannya turut membelanjakan wang tersebut untuk menyewa kediaman mewah di Los Angeles, Hamptons dan Miami di samping turut menyewa jet peribadi.
Lam sebelum ini dilaporkan cukup terkenal dalam kalangan pengunjung kelab malam di Los Angeles dan Miami kerana gaya hidupnya yang mewah dan glamor.
Gaya hidup berkenaan, ditambah dengan kekayaan luar biasa hasil kegiatan mata wang kriptonya, turut menarik perhatian pihak berkuasa.
Kumpulan jenayah itu akhirnya berjaya ditumpaskan selepas ejen FBI menahan Lam bersama seorang lagi rakan subahatnya pada September 2024.
Pada April lalu, salah seorang rakan subahat Lam, Evan Tangeman dijatuhi hukuman penjara 70 bulan kerana mencuci wang hasil kegiatan berkenaan.
DOJ berkata Tangeman turut cuba memusnahkan bahan bukti selepas Lam ditahan, yang menurut mahkamah menunjukkan “kesedaran terhadap kesalahannya,”


