Insiden pilu melibatkan helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Lon Lellang, Ulu Baram, Sarawak, semalam meninggalkan kesan mendalam, terutama kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Media melaporkan, lima individu yang meninggal dunia dalam insiden tersebut dikenalpasti sebagai juruterbang, Kapten Zainol Afiq, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Dalam kepiluan, adik ipar kepada Kapten Zainol mengimbau satu insiden mendebarkan yang pernah dilalui Allahyarham pada 28 Ogos tahun lalu.
Adik iparnya, @_.aimnsuhaimi berkongsi Kapten Zainol yang sedang mengendalikan helikopter membawa beberapa kru termasuk doktor dan jururawat berdepan keadaan mencemaskan apabila mengalami angin kuat.
Detik Cemas Kapten Zainol, Berjaya Selamatkan Semua Kru

Namun, dengan pengalaman dan kecekapan yang dia miliki, Kapten Zainol berjaya melakukan pendaratan kecemasan di Loji Rawatan Air Lambir sekali gus mengelakkan kejadian buruk berlaku.
“Tahun lepas dia dapat selamatkan semua kru masa angin kuat dekat sana, berderau sekejap jantung masa tu kakak cerita dekat kami semua.
“Tapi semalam, Allahu. Hanya Allah saja yang tahu. Doakan kakak saya kuat ya,” kata @_.aimnsuhaimi.
Dalam pada itu, seorang individu, @zaidiskandar, turut berkongsi pertemuannya dengan Kapten Zainol selepas berjaya membuat pendaratan kecemasan itu.
@zaidiskandar yang merupakan pekerja di loji rawatan tersebut menyifatkan Kapten Zainol seorang yang baik dan peramah.
“Ini dia selepas kejadian itu. Kapten Afiq tengah isi buku log kejadian selepas mendarat dalam loji air kami di Lambir.
“Saya sempat berkenalan dengan dia selepas insiden itu. Dia seorang yang sangat baik, peramah dan semua yang saya banyak baca adalah kebaikan dia semua di media sosial.
“Semoga Allah SWT memaafkan segala dosanya dan menempatkannya di kalangan orang-orang beriman,” kongsi @zaidiskandar.

Sebelum ini, media melaporkan satu helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) telah terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak.
Menteri di Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan oleh seorang juruterbang dan membawa pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat.

