Siakap Keli
JHEAINS kesan kesalahan pada perhiasan ayat al-quran
Gambar: Sinar Harian

Perhiasan Ayat Al-Quran Dijual Di Nilai 3 Dikesan Ada Kesalahan – JHEAINS

Perhiasan Ayat Al-Quran Dijual Di Nilai 3 Dikesan Ada Kesalahan – JHEAINS

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran yang dijual di sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai 3, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, apabila JHEAINS menegur kesilapan yang terdapat pada baris ayat Kursi, seorang pekerja asing yang bekerja di situ berkata ia merupakan kesalahan yang sedikit.

Ketua Pegawai Penguatkuasaan JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata pihaknya menjalankan operasi berkenaan bersama Kementerian Dalam Negeri, Negeri Sembilan (KDB) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selepas menemui longgokan hiasan dinding ayat al-Quran di premis tersebut pada Sabtu.

“Kejadian itu telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat beragama Islam dan merupakan satu kesalahan serius.

“Jadi berdasarkan risikan, kita telah melakukan pemeriksaan di beberapa premis dan mendapati terdapat banyak hiasan ayat al-Quran tidak sempurna dijual yang jelasnya telah melanggar Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986, katanya memetik Sinar Harian.

Nik Azlan berkata para peniaga sepatutnya tidak meletakkan keuntungan sebagai nombor satu semasa melakukan perniagaan dan mengambil serius mengenai hiasan al-Quran yang dijual pada premis mereka.

Kredit: Sinar Harian

Tambahnya, walaupun mempunyai sedikit kesalahan pada ayat tersebut namun, ia akan menyumbang kepada perubahan maksud ayat al-Quran.

“Jelasnya al-Quran ini tak boleh ada kesilapan langsung walaupun sedikit. Jadi peniaga perlu pastikan hiasan ayat al-Quran yang dijual telah mendapat pengesahan KDN.

“Mereka boleh dikenakan tindakan jika didapati menjual hiasan al-Quran yang tidak mendapat perakuan KDN dan masyarakat pun sebaiknya buat semakan terlebih dahulu sebelum membeli,” katanya.

Oleh itu, KDN telah merampas kesemua barangan yang didapati mempunyai kesalahan dan tidak tepat ayat al-Qurannya untuk dijadikan sebagai bahan bukti kes.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Saiful Saadon berkata premis terbabit tidak mempunyai lesen selepas pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Kedai ini dah beroperasi empat bulan. Sebelum ini kita dah pun minta pemilik buat permohonan lesen dan telah pun beri amaran. Tapi nampaknya pemiliknya masih tidak mengendahkannya.

“Jadi apabila operasi dilaksanakan dan didapati pula premis ini dijaga oleh pekerja warga asing, kita terpaksa menyitanya dan diarah tutup sehingga pemiliknya memperoleh lesen kerana itu adalah prosedur operasi standard ditetapkan (SOP),” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana