Siakap Keli
pelajar ditampar jurulatih
Gambar: BERNAMA

Pelajar Ditampar Jurulatih: KPM Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis

Pelajar Ditampar Jurulatih: KPM Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis sekiranya ada laporan yang dibuat mengenai insiden melibatkan seorang jurulatih menampar dua pelajar perempuan yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataan, KPM berkata pihaknya juga akan meneruskan siasatan ke atas insiden tersebut bagi tujuan tatatertib dan sekiranya jurulatih tersebut didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.

“KPM memandang serius terhadap isu yang dilaporkan oleh pihak media dan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, KPM juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) memaklumkan pihaknya juga telah mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

Sebelum ini, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan dipercayai di bawah kendaliannya.

Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Disember lepas.

Kredit: FB KPM

KPM Telah Jumpa Ibu Bapa Pelajar Ditampar

Sementara itu KPM telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pertemuan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dengan kejadian tersebut.

“Kami (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kami tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita.

“Keprihatinan kami sangat besar berkenaan isu ini dan keutamaan kami adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembukaan sekolah sesi ketiga bagi tahun 2022-2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, hari ini.

 

Sumber: KPM via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana