Siakap Keli
jurulatih bola tampar digantung
Kredit: BERNAMA

MAVA Gantung Jurulatih Tampar Pemain Remaja Perempuan

Jurulatih yang tampar pemain remaja perempuan digantung

KUALA LUMPUR (Bernama) — Seorang jurulatih yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga telah mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

“MAVA sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan MAVA,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan. Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat tindakan jurulatih itu.

Beliau berkata laporan penuh berkenaan isu itu akan menyusul dan kementeriannya turut memohon saksi untuk tampil bagi memberi keterangan.

“Tekad mewujudkan Sekolah Selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter rasminya malam tadi.

Pelajar Ditampar Jurulatih: KPM Beri Kerjasama Penuh Kepada Polis

Sebelum itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis sekiranya ada laporan yang dibuat mengenai insiden melibatkan seorang jurulatih menampar dua pelajar perempuan yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataan, KPM berkata pihaknya juga akan meneruskan siasatan ke atas insiden tersebut bagi tujuan tatatertib dan sekiranya jurulatih tersebut didapati bersalah, tindakan sewajarnya akan diambil.

“KPM memandang serius terhadap isu yang dilaporkan oleh pihak media dan satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat akan dilaksanakan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, KPM juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Terdahulu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) memaklumkan pihaknya juga telah mengambil langkah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian tersebut dengan serta-merta serta akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan berkenaan.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana