Siakap Keli
premis judi loteri kedah di tutup
Gambar: BERNAMA

Tiada Lagi Premis Judi, Loteri Di Kedah, Bermula Hari Ini

ALOR SETAR (Bernama) — Bermula 1 Jan 2023, tiada lagi premis perjudian dan loteri di negeri Kedah selepas operasi mereka tamat sepenuhnya semalam susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Justeru, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu diarah memantau dan memastikan semua premis berkenaan tidak lagi menjalankan operasi mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata operasi semua premis itu di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian bermula hari  ini pada November 2021.

“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri untuk memastikan tidak ada yang dibuka hari ini, kita mungkin tidak tahu jika ada premis judi yang masih beroperasi.

“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Dis dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi mengumumkan pemberhentian kelulusan lesen premis perjudian dan mengehadkan aktiviti penjualan arak semasa Persidangan Drwan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 Nov 2021.

CAKE Minta Kerajaan Kedah Pantau Judi Dalam Talian, Kurangkan Lesen Jualan Arak

Sementara itu dalam laporan berasingan, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, di samping menyuarakan harapan agar lesen penjualan minuman keras pula dapat dikurangkan.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata susulan langkah menutup sepenuhnya premis perjudian dan loteri di Kedah, pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat memantau kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai akan berleluasa.

“Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. CAKE berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutamanya berkaitan perjudian dalam talian,” katanya.

Beliau yang ditemui ketika membuat tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar dekat sini hari ini berkata sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian yang berlaku di kawasan mereka.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana