KUALA LUMPUR — Harimau Malaya gah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas membenam Singapura 4-1 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Turun dalam perlawanan penentuan naib johan kumpulan B, kedua-dua pasukan pada minit awal permainan separuh masa pertama saling berbalas serangan.
Harimau Malaya selaku tuan rumah turun dengan dibanjiri lebih 56,000 penyokong dalam misi mencari kemenangan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Malaysia membuka tirai gol menerusi hantaran kapten pasukan, Safawi Rasid yang berjaya menemui kepala Darren Lok untuk menanduk masuk gol pertama buat pasukan negara pada minit ke-35.
Gol itu nyata menaikkan moral anak-anak buah Kim Pan Gon yang semakin mendominasi perlawanan sehingga tamat babak pertama.
Masuk sahaja di babak kedua, pemain tengah, Stuart Wilkin berjaya memanfaatkan peluang hasil kesilapan pemain lawan untuk melepaskan satu sepakan kencang di luar kotak penalti Singapura untuk meletakkan Malaysia dua gol di depan pada minit ke-50.
Tuan rumah terus mengaum di SNBJ apabila Wilkin sekali lagi merobek gawang gol pelawat pada minit ke-54 menerusi assist daripada Safawi Rasid.
Dominasi Malaysia kian terserlah selepas gol ketiga apabila semakin selesa mengawal tempo permainan.
Di penghujung babak kedua, Singapura menggandakan asakan dan berjaya memperolehi gol sagu hati menerusi Faris Ramli pada minit ke-85.
Bagaimanapun, Sergio Aguero kembali menambah koleksi gol Malaysia dengan jaringan keempat pada minit ke- 89 sekaligus mematahkan semangat pelawat.
Kemenangan ini menyaksikan Malaysia menjadi naib juara kumpulan B dan bakal bertemu Thailand di peringkat separuh akhir manakala Vietnam selaku juara kumpulan B bakal bertembung dengan Indonesia yang muncul sebagai naib juara kumpulan A