Siakap Keli
Kredit AFP

Sembilan Terbunuh Dalam Tragedi Rempuhan Ambang Tahun Baru Di Uganda

Sembilan Terbunuh Dalam Tragedi Rempuhan Ambang Tahun Baru Di Uganda

Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam satu kejadian rempuhan ambang Tahun Baru 2023 ketika orang ramai sedang bergembira di sebuah pusat beli-belah di ibu negara Uganda, lapor The Guardian.

Sebahagian yang terkorban dalam insiden itu dilaporkan kanak-kanak dan remaja yang berusia dalam lingkungan 10 hingga 20 tahun.

Selepas pertunjukkan bunga api berlangsung di luar pusat beli-belah Freedom City di Kampala, insiden rempuhan telah berlaku sehingga mengakibatkan lima orang maut dengan serta-merta manakala beberapa yang lain tercedera, kata Luka Owoyesigyire jurucakap polis negara.

Empat orang mangsa lagi maut dalam perjalanan ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

“Petugas kecemasan tiba di tempat kejadian dan membawa individu yang cedera ke hospital, di mana sembilan orang disahkan telah meninggal dunia,” kata Owoyesigyire.

Menurutnya, tindakan terburu-buru dan cuai telah membawa kepada tragedi malang itu.

“Kebanyakan yang maut adalah remaja berumur antara 10, 11, 15 dan 20 tahun. Terdapat beberapa yang cedera dan pasukan penyiasat sedang membuat siasatan susulan bagi mendapatkan jumlah mangsa yang sebenar,” kata jurucakap polis tempatan, Patrick Onyango.

Seorang daripada mangsa yang terselamat, Sylvia Nakalema, 27 tahun berkata rempuhan itu bermula apabila orang ramai berpusu-pusu untuk pergi melihat bunga api di tingkat atas sebelum kembali ke tingkat bawah.

“Terdapat orang yang telalu ramai. Orang ramai mula menolak satu sama lain untuk mendapatkan ruang, menyebabkan beberapa orang telah terjatuh dan rempuhan mula berlaku.

“Kanak-kanak mula menangis dan keadaan mula menjadi huru-hara. Saya terselamat kerana ditolak di satu sudut oleh orang ramai. Saya mula berasa sesak nafas tetapi saya kuatkan diri kerana tiada jalan keluar yang selamat. Beberapa mangsa sudah terbaring dalam keadaan tercungap-cungap,” kata Sylvia.

Sumber: The Guardian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka