Siakap Keli
Gambar: Bernama

Pendapatan Kedah Tidak Terjejas Dengan Penutupan Premis Perjudian – Sanusi

Pendapatan Kedah Tidak Terjejas Dengan Penutupan Premis Perjudian – Sanusi

ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) — Pendapatan kerajaan negeri Kedah tidak terjejas dengan tindakan penutupan premis perjudian dan loteri yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata mengikut rekod, pada 2021 jumlah keseluruhan pendapatan diperoleh kerajaan negeri menerusi premis perjudian hanyalah berjumlah sekitar RM400,000 setahun.

“Sikit sahaja pendapatan yang diperoleh melalui premis perjudian iaitu RM400,000 sahaja tetapi kalau RM400 juta sekali pun saya tetap akan menutup semua premis perjudian dan loteri berkenaan. Jumlah yang diperoleh sikit tetapi kesan daripada perjudian itu lebih besar.

“Hendak baiki masyarakat, ahli keluarga yang berselerak, bapa jadi tahi judi balik ‘tabuh’ (pukul) mak, anak, jual harta dan curi duit untuk beli judi, kerosakan itu lagi teruk daripada RM400,000,” katanya ketika ditanya sama ada pendapatan kerajaan negeri akan terjejas dengan keputusan penutupan premis perjudian dan loteri di seluruh Kedah.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengenai dakwaan masih terdapat premis perjudian beroperasi secara haram dan berselindung di sebalik perniagaan lain, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga bekerjasama rapat dengan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membanteras premis perjudian dan loteri itu antaranya dengan memotong bekalan elektrik di premis yang menjalankan kegiatan haram berkenaan.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa keputusan penutupan premis perjudian itu bukan dibuat secara drastik kerana ia telah dimaklumkan terlebih awal kepada pemilik premis dan sepatutnya mereka telah buat persiapan untuk mengalih arah perniagaan mereka.

“Jadi, saya harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mereka tahu kegiatan perjudian yang masih beroperasi,” katanya.

Pada 1 Jan 2023, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah tamat sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat pada 31 Dis 2022.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?