Seorang bayi dikerumuni semut ditemui oleh penduduk dalam penemuan di daerah Mijen, Jawa Tengah berhampiran sebuah kawasan kolam pancing pada Selasa, lapor Kompas.com.
Difahamkan, penemuan itu mengejutkan penduduk di situ kerana bayi tersebut kelihatan seperti baru dilahirkan susulan masih terdapat kesan darah dan lendir di kepalanya.
“Tali pusatnya sudah dipotong semasa bayi itu ditemukan.
“Bayi itu masih bernyawa, yang sengaja ditinggalkan oleh di lokasi terbabit oleh pelaku,” jelas Ketua Polis Daerah Mijen Kholid Mawardi.
Kholid berkata bayi itu ditemui semasa dua penduduk membantu sebuah kereta rosak yang berada di hadapan kolam memancing Barokah Sekopek tidak jauh dari lokasi kejadian.
Kereta yang rosak itu tidak boleh bergerak kerana kehabisan minyak dan dua penduduk terbabit cuba untuk membantu pemiliknya.
“Ketika memberikan bantuan, penduduk di situ tidak sengaja ternampak seorang bayi yang dibungkus dengan kain berwarna coklat,” ujarnya.
Kemudian, kedua-dua mereka memanggil orang ramai untuk melihat keadaan itu dan menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan penemuan bayi berkenaan.
Menurut Kholid, bayi tersebut dilaporkan telah dibawa ke pusat kesihatan Karangmalang untuk menerima rawatan lanjut.
Bayi dikerumuni kerengga ditemui hidup-hidup
Imbas kembali laporan terdahulu, turut pernah berlaku satu kes hampir serupa melibatkan seorang bayi baru lahir yang ditemui masih hidup dalam keadaan dikerumuni kerengga di badannya.
Dalam kejadian di Thailand pada Disember 2021 itu, bayi perempuan terbabit ditemui di dalam hutan dengan cacing dan serangga sudah ‘merayap’ di sekeliling badannya, memetik laporan The Mirror.
Menurut laporan, apabila bayi tersebut dijumpai oleh orang kampung, pada wajahnya sudah kelihatan kesan lebam dan calar gara-gara serangga yang menyerang bayi tersebut. Malah bayi itu juga dipercayai sudah dua hari berada di hutan itu.
Ketika bayi itu dijumpai, dia berada dalam keadaan tidak berbaju dan hanya dibaluti dengan daun pisang
Orang kampung yang menjumpai bayi itu, cuba mengelap muka dan badannya dengan menggunakan daun dan memastikan bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah laporan, bayi itu mula menangis apabila dia diselamatkan oleh orang kampung. Mereka kemudiannya membaringkan bayi itu di atas tanah ketika menunggu polis dan ambulans tiba.
BACA JUGA: (Video) Bayi Baru Lahir Dikerumuni Kerengga Ditemui Dalam Hutan, Dipercayai Dibuang
Sumber: Kompas.com