Siakap Keli
Kredit: KOMPAS.com

Bimbang Soal Keselamatan, “Game” Piala AFF Indonesia vs Vietnam Diawalkan 3 Jam, FIFA Arah Kawalan Diperketat

Bimbang Soal Keselamatan, “Game” Piala AFF Indonesia vs Vietnam Diawalkan 3 Jam, FIFA Arah Kawalan Diperketat

Perlawanan separuh akhir Piala AFF antara Indonesia dan Vietnam pada Jumaat ini telah awalkan atas alasan keselamatan dan FIFA juga telah mengarahkan pihak tuan rumah memastikan keselamatan diperketatkan, lapor portal berita Vietnam, VNExpress.

Difahamkan, perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 7.30 malam (waktu Vietnam) itu akan diadakan tiga jam lebih awal iaitu pada pukul 4.30 petang.

FIFA juga akan menghantar seorang pegawai senior untuk memantau perlawanan tersebut, manakala AFC turut akan menghantar pegawai keselamatan sendiri pada hari perlawanan.

Keputusan itu akan memperlihatkan kehadiran dua pegawai perlawanan, berbanding seorang seperti yang diamalkan sebelum ini. Perkara berkenaan dianggap sebagai luar biasa, lebih-lebih lagi untuk kejohanan bertaraf serantau.

Tindakan yang diambil oleh FIFA dan AFC itu dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengambil kira Tragedi Kanjuruhan yang melanda Indonesia tahun lepas, dimana menyaksikan lebih 130 orang penonton maut dalam insiden rusuhan stadium melibatkan saingan liga domestik.

Pada 29 Disember, bas yang membawa pasukan Thailand telah dihalang dan dilempar batu oleh penyokong tuan rumah ketika dalam perjalanan ke Gelora Bung Karno untuk perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF.

Susulan itu, kem Vietnam dilapor meminta penganjur kejohanan meningkatkan kawalan keselamatan dan memastikan perlawanan separuh akhir nanti berlangsung dalam keadaan yang selamat.

”Tuan rumah bertanggungjawab memastikan keselamatan pasukan pelawat ketika hari perlawanan. Kami telah meminta AFF dan penganjur untuk memastikan kawalan keselamatan diperketat,” kata jurucakap Persekutuan Bola Sepak Vietnam.

Dalam satu lagi perlawanan, Malaysia akan menyambut kehadiran Thailand dalam perlawanan Separuh Akhir 1 pada Sabtu ini.

BACA: Empat Tahun Awal, Menteri Dedah Konsert Jay Chou Dah Tempah Stadium Dari 13 Mac 2019

Sumber: VN Express

Shafikah