Siakap Keli

Empat Tahun Awal, Menteri Dedah Konsert Jay Chou Dah Tempah Stadium Dari 13 Mac 2019

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah tampil memberikan perkembangan terkini berkenaan isu 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan separuh akhir AFF Suzuki Cup baru-baru ini.

Menurut ciapannya di Twitter, tempahan stadium untuk konsert Jay Chou World Tour telah dibuat pada 13 Mac 2019 iaitu, kira-kira empat tahun lalu.

Berbeza pula dengan Piala AFF 2022, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membuat tempahan stadium tersebut pada 18 Ogos 2022, sekitar tiga bulan lepas.

Selain itu, Hannah turut menjelaskan bahawa konsert tersebut memerlukan masa persiapan selama 14 hari. Ini termasuklah beberapa persiapan seperti pemasangan pentas yang memerlukan tenaga kerja sehingga 500 kru.

Proses persiapan ini juga melibatkan tambahan 185 kru antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu.

Untuk makluman, pihak penganjur konsert tersebut mengalami kelewatan 2 hari setengah daripada jadual asal kerana memberikan ruang kepada penganjuran Piala AFF untuk menggunakan stadium tersebut baru-baru ini.

Terdahulu, FAM memaklumkan bahawa hanya menyediakan 59,000 keping tiket untuk perlawanan Separuh Akhir 1 Piala AFF mempertemukan skuad kebangsaan dengan Thailand pada 7 Januari ini.

Difahamkan, baki 21,000 tiket tidak dapat dijual memandangkan sebahagian tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

FAM berkata, situasi tersebut tidak dapat dielakkan dan pihaknya bersama Perbadanan Stadium Malaysia sudah sedaya upaya mencari jalan terbaik supaya kempen Piala AFF kali ini dapat diadakan di SNBJ, berbanding stadium lain yang mempunyai kapasiti lebih kecil.

Situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya banyak pihak khususnya dalam kalangan peminat bola sepak yang mahukan penjelasan lebih lanjut.

Sumber: Hannah Yeoh via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma