Siakap Keli
Kredit: FOX 13 News

Lapan Sekeluarga Termasuk Lima Kanak-Kanak Dilapor Ditembak Mati

Lapan Sekeluarga Termasuk Lima Kanak-Kanak Dilapor Ditembak Mati

UTAH – Lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak dilapor mati akibat ditembak dan mayat mereka ditemui di dalam sebuah rumah luar bandar di Enoch City, Utah pada Rabu.

Memetik laporan CNN, polis telah menemukan kesemua mayat ketika melakukan pemeriksaan kebajikan di rumah tersebut yang terletak kira-kira 394 kilometer di selatan Salt Lake City.

Menurut pengurus Enoch City, Rob Dotson, penduduk di kawasan tersebut telah berkabung atas kematian keluarga itu pada malam Rabu.

“Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata tentang emosi yang dialami oleh orang yang tinggal di sini.

“Kami semua kenal keluarga ini. Ramai daripada kami telah berkhidmat bersama mereka di gereja, dalam komuniti, malah turut bersama pergi ke sekolah dengan mereka.

“Jadi, komuniti pada masa ini sedang berduka. Mereka berasa kehilangan dan mempunyai banyak soalan untuk ditanya, malah mereka juga bersedia untuk membantu,” katanya.

Pun begitu, pegawai yang bertugas tidak menyatakan motif tembakan dan bila kematian itu berlaku.

Dalam pada itu, pengurus Enoch City turut menyatakan bahawa ia akan mengambil masa bagi menentukan apa yang telah berlaku di dalam rumah itu. Malah, penyiasat dari Iron County, Enoch City dan Cedar City sedang bekerjasama untuk mendapatkan jawapan.

“Kita tidak tahu minda dan pemikiran individu yang mengalami tragedi ini, tetapi kita semua boleh berdoa agar keluarga dan jiran mereka dapat memahami apa yang berlaku di tempat ini, mungkin dalam satu atau dua hari atau lebih lama,” jelasnya.

Sementara itu, Gabenor Utah, Spencer Cox turut mengucapkan takziah dan meminta orang ramai supaya menjaga komuniti Enoch.

Sumber: CNN, BBC 

Farah Nabilah