Siakap Keli
Kredit: Bernama

Struktur Konsert: Gajah Perang Gembira Penyokong Harimau Malaya Kurang 21,000

Struktur Konsert: Gajah Perang Gembira Penyokong Harimau Malaya Kurang 21,000

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Jurulatih Thailand Alexandre Polking menganggap skuad Gajah Perang bernasib baik dengan keadaan terkini Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, menjelang separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menentang Malaysia malam esok.

Polking berkata pasukannya gembira kerana keadaan itu akan menyaksikan sorakan penonton berkurangan lebih 20,000 orang yang mampu memberi kesan terhadap pertembungan itu.

“Hari ini kami hanya melihat keadaan padang, tidak banyak latihan, kini masanya untuk kuat dari segi mental untuk bersedia menghadapi perlawanan yang sangat sukar dengan stadium yang penuh sesak (tetapi) saya rasa kita bertuah kerana struktur konsert telah mengurangkan kira-kira 20,000 penonton.

“Kami gembira tetapi kami juga tahu yang (esok) adalah perlawanan yang sangat sukar,” kata jurulatih Brazil-Jerman berusia 46 tahun itu semasa sidang media praperlawanan di sini.

Rabu lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan 21,000 tempat duduk di Stadium Nasional terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.

Konsert oleh artis terkemuka Taiwan itu akan berlangsung pada 15 Jan di Stadium Nasional.

Pada masa sama, Polking berkata pemain Malaysia benar-benar pejuang yang bagus dan telah terbukti sesiapa sahaja yang beraksi, mereka boleh memberikan tentangan hebat dan perlawanan yang sukar kepada pihak lawan.

Beliau berkata Thailand dan Malaysia juga mempunyai situasi yang sama apabila mereka terpaksa bermain tanpa pemain utama pada Piala AFF, namun merasakan kedua-dua pasukan mempunyai kualiti untuk muncul sebagai juara.

“Kami perlu menerima pemain yang ada bersama kami di sini dan saya percaya Kim (Pan Gon) juga melakukan yang sama, saya percaya kami berdua masih mempunyai kualiti yang cukup untuk memenangi kejohanan ini bersama skuad yang kita bawakan ke sini.

“Saya menjangkakan saingan yang sama seperti yang kita hadapi beberapa tahun lepas, sentiasa sukar, terperinci, amat kompetitif. Dua pasukan ini yang saya ingin melihat mereka bersaing, jadi kami bersedia dan berharap akhirnya kami dapat keputusan yang penting esok untuk dibawa pulang,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Thailand Sasalak Haiprakhon berkata pasukannya bersedia untuk mengutip tiga mata penting esok walaupun terpaksa berdepan dengan kumpulan penonton yang begitu kuat di sini.

“Perlawanan esok pastinya sukar, Malaysia mempunyai penyokong yang hebat yang akan memenuhi stadium dengan suasana yang bagus tetapi seperti yang jurulatih katakan kami sudah berehat, pulih dan semua yakin serta bersedia menghadapi perlawanan sengit esok.

“Malaysia pasukan yang bagus, ramai pejuang dan bukan mudah untuk sampai ke sini dan beraksi dengan baik tetapi kami yakin kali ini semua sudah fokus dan bersedia mempamerkan persembahan terbaik dan membawa pulang keputusan yang penting esok,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Untuk rekod, Malaysia mengetepikan Thailand selepas seri 0-0 di Bukit Jalil dan 2-2 di Bangkok pada separuh akhir edisi 2018 sebelum tewas dengan agregat 3-2 ke atas Vietnam pada final.

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Bangkok untuk aksi timbal balik di Stadium Thammasat pada Selasa (10 Jan).

BACA: Empat Tahun Awal, Menteri Dedah Konsert Jay Chou Dah Tempah Stadium Dari 13 Mac 2019

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma