Lelaki Tersenarai Dalam Guinness World Record, Miliki Lebih 24,000 Permainan Video Bernilai RM9.2 Juta
TEXAS — Seorang lelaki dari Amerika Utara, Antonio Romero Monteiro menjadi manusia paling banyak memiliki permainan video dengan nilai anggaran RM9.2 juta
Lelaki berusia 45 tahun yang berasal dari Richmond, Texas, Amerika Syarikat itu telah diiktiraf sebagai pemilik permainan video paling banyak di dunia oleh Guinness World Record.
Dianggarkan, jumlah kesuluruhan yang dimiliki olehnya adalah sebanyak 24,268 permainan.
Bukan sahaja pemegang rekod permainan video terbanyak, dia juga memegang empat rekod dunia lain termasuk memilik koleksi terbesar barangan Xbox, permainan Sega, permainan Nintendo dan permainan PlayStation.
Difahamkan, dia mula menyimpan dan mengumpul permainan video sejak usia 10 tahun pada 1987.

“Pada awalnya saya hanya memfokuskan pembelian permainan video yang dimainkan sewaktu muda sahaja. Perlahan-lahan ia semakin banyak dan saya tidak sempat untuk bermain sehingga ia menjadi koleksi,” katanya.
Menurut Antonio, minat yang mendorong untuk mengumpul barangan ini bukan sahaja terletak pada faktor hiburan namun nilai disebalik permainan tersebut.

“Saya melihat permainan video sebagai satu bentuk seni kerana kreativiti dan penceritaannya tanpa batas.
“Antara kenangan saya yang paling berharga adalah bermain permainan video bersama keluarga serta rakan-rakan,” katanya.
Walaupun mempunyai permainan yang terlalu banyak, namun dia tidak menghadapi masalah untuk mencarinya kerana telah mencipta sistem dwi iventori yang dapat menguruskan keseluruhan koleksi permainan video.
“Saya telah mengatur semua permainan dalam sistem mengikut susunan abjad,” jelasnya lagi.

Dia menegaskan bahawa akan terus mengumpul setiap koleksi permainannya sehingga lengkap di Amerika Utara dalam semua jenis permainan video utama.
“Saya kini sedang berusaha untuk melengkapkan koleksi Nintendo DS. Terdapat dua permainan dalam koleksi ini yang agak sukar diperolehi pada harga yang berpatutan namun kesabaran adalah kunci kepada setiap pengumpul,” maklum Antonio.
Dia turut mengimbas kembali perasaannya sewaktu diiktiraf sebagai pemecah rekod dunia.
“Saya masih ingat sewaktu kecil, buku Guinness World Records merupakan buku yang paling popular di perpustakaan sekolah,” katanya.
Terdahulu, Antonio telah memukau mata dunia setelah diiktiraf dengan pelbagai gelaran rekod pada 19 Disember 2021.
Sumber: Guiness World Records