Siakap Keli
Gambar: Orland Park Prayer Center

Perlu Atau Tidak Mengikut Imam Untuk Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Mufti WP

Perlu Atau Tidak Mengikut Imam Untuk Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Mufti WP

Setiap manusia tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan kerana ia merupakan fitrah sebagai seorang insan. Bermula dari kesilapan, mereka akan lebih mengingati dan mengambil pengajaran untuk berubah kepada yang lebih baik dalam setiap sudut.

Sebagai seorang muslim dan muslimat, setiap orang diwajibkan untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, dalam beribadah kepada yang Maha Esa, kita juga sering lalai dalam melakukan kesilapan ketika mengadap-NYA.

Seperti yang diketahui, jika terdapat sebarang kesilapan di dalam solat, kita hendaklah melakukan ‘Sujud Sahwi’

Umumnya, solat boleh dilakukan dalam dua keadaan iaitu, solat secara bersendirian dan secara berjemaah.

Namun, timbul persoalan sama ada perlu atau tidak untuk mengikuti imam melakukan sujud sahwi sewaktu berjemaah?  Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti di bawah. Semoga bermanfaat.

Perlukah Sujud Mengikut Imam Sujud Sahwi? Ini Penjelasan Mufti

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan

Saya terlewat sampai solat Subuh. Selepas membaca tahiyat, imam sujud sahwi. Adakah wajib saya ikut imam sujud sahwi atau bangun menambah rakaat?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan kerana kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Ia dilakukan pada akhir solat sebelum salam dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443)

Menjawab soalan di atas, boleh ikut sujud sahwi kerana tujuan makmum ialah mengikut imam. Imam itu adalah untuk diikuti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.”

Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (948)

Guru kami, al-Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Pada permasalahan sujud sahwi, ketika mana imam sujud dan makmum sujud bersamanya, sedangkan imam sujud kerana lupanya tetapi makmum tidak lupa, mereka juga hendaklah sujud bersama imam. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram oleh Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim, 1/464)

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan hadis yang diriwayatkan daripada Umar R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

لَيْسَ عَلَى مَنْ خَلْفَ الإِمَامِ سَهْوٌ فَإِنْ سَهَا الإِمَامُ فَعَلَيْهِ وَعَلَى مَنْ خَلْفَهُ

Maksudnya: Tiadalah seseorang yang sembahyang di belakang imam sujud sahwi. Jika sekiranya imam lupa, maka hendaklah imam dan makmum sujud sahwi.

Riwayat al-Bazzar, al-Baihaqi (2/532) 
dan al-Daraqutni (1/377)

Hadis ini seperti kata al-Baihaqi adalah dha’if. Kata al-Syaukani, salah seorang pada sanadnya Kharijah bin Mus’ab, sedangkan beliau dha’if. Dan juga Abu al-Husin al-Madini sedangkan beliau majhul.

Hadis ini menjadi dalil bahawa imam menanggung di atas lupanya makmum. Jika makmum lupa, sedangkan imam tidak lupa, maka makmum tidak perlu sujud sahwi. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir secara ijma’. Usul syariat menyokong hukum ini. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam sehingga mutaba’ah (ikutan hendaklah didahulu mengatasi tasyahhud awal). (Lihat Taudhih al-Ahkam oleh al-Bassam, 2/351)

Hadis ini juga menunjukkan jika sekiranya makmum tidak lupa tetapi yang lupa ialah imam sedangkan makmum hanya sempat pada tahiyyat akhir, maka hendaklah dia sujud bersama imam ketika sujud sahwi kerana nas:

وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Apabila imam sujud, maka hendaklah kamu (makmum) bersujud.”

Riwayat al-Bukhari (378)

Ibn Munzir telah menyebutnya secara ijma’.

Kadang-kadang makmum itu tidak melakukan kesilapan manakala imam melakukan kesilapan. Sebagai contoh, imam terlupa membaca doa qunut sedangkan makmum tidak terlupa dan sempat membaca doa qunut walaupun yang ringkas. Kemudian di akhir solat, imam sujud sahwi kerana tidak membaca qunut, maka makmum mesti sujud bersama imam. Ianya tidak menjadi masalah dan tidak semestinya makmum juga lupa baru perlu sujud sahwi bersama imam.

Lihat juga artikel kami dalam siri Al-Kafi #694: Perlukah Sujud Sahwi Jika Imam Meninggalkannya?[1] untuk menambahkan kefahaman dan penjelasan.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?