Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Bandar Paling Berhantu Di Dunia, Ini Senarai Penuh Mengikut Kedudukan

10 Bandar Paling Berhantu Di Dunia
Gambar Hiasan

Anda mungkin tidak percaya kewujudan hantu, tetapi kisah seram sesebuah bandar sebenarnya mampu menjadi tarikan pelancong tersendiri.

Hal ini bukan sesuatu yang asing, terutama di bandar seperti New Orleans, Nashville, Rome dan beberapa lokasi lain.

Walaupun hampir setiap bandar mempunyai kisah mistik sejak berabad-abad lalu, jumlah lawatan hantu, tanah perkuburan dan rumah berhantu turut memainkan peranan penting.

Perkara itu menjadi asas kajian oleh BC.Game dalam menyenaraikan bandar paling berhantu di dunia berdasarkan beberapa kategori berkaitan pelancongan gelap.

Memandangkan bacaan medan elektromagnet tidak mudah diterjemahkan kepada data yang boleh dibandingkan, kajian menggunakan tarikan seram sebagai ukuran utama.

Kajian tersebut meneliti 25 lokasi terkenal dengan kisah misteri sebelum memberikan setiap bandar markah Pelancongan Gelap daripada 100 mata.

Semakin tinggi markah diperoleh, semakin banyak tarikan berkaitan kisah paranormal yang dimiliki sesebuah bandar berdasarkan penilaian kajian.

Daripada kediaman individu terkenal dengan kisah pontianak hinggalah kawasan perkuburan luas, setiap lokasi mempunyai sejarah tersendiri.

10 Bandar Paling Berhantu Di Dunia

Berikut merupakan 10 bandar yang memperoleh kedudukan tertinggi berdasarkan kajian tersebut, termasuk jumlah lawatan hantu, rumah berhantu dan tanah perkuburan.

Kedudukan

Bandar

Lawatan hantu

Rumah berhantu

Tanah perkuburan

1

Bucharest, Romania

84

8

69

2

Rome, Itali

41

6

266

3

New Orleans, Louisiana

55

13

82

4

Venice, Itali

29

24

55

5

Bran, Romania

103

1

3

6

Charleston, South Carolina

55

4

118

7

Savannah, Georgia

70

2

63

8

Nashville, Tennessee

16

6

218

9

Philadelphia, Pennsylvania

10

4

262

10

Houston, Texas

35

4

129

Bucharest, Bandar Yang Dikaitkan Dengan Dracula

Bucharest, ibu negara Romania, menduduki tempat pertama dengan markah Pelancongan Gelap sempurna sebanyak 100 mata.

Walaupun Romania sering dikaitkan dengan istana Gothic dan suasana berkabus di Transylvania, Bucharest mempunyai tarikan seram tersendiri.

Bandar ini terkenal dengan bangunan bersejarah, seni bina Brâncovenesc serta pelbagai lawatan berpandu ke lokasi yang dikaitkan dengan kisah misteri.

Antara 69 tanah perkuburan di bandar tersebut ialah Bellu Cemetery yang menempatkan pusara beberapa tokoh sastera terkenal Romania.

Antaranya termasuk Ion Luca Caragiale dan Mihai Eminescu, dengan monumen makam dikelilingi dedaunan berwarna tembaga ketika musim luruh.

Romania sememangnya menjadi latar penting kepada beberapa karya seram terkenal, termasuk novel Dracula tulisan Bram Stoker.

Malah, negara itu turut menjadi inspirasi kepada filem Nosferatu arahan Robert Eggers yang ditayangkan pada 2024.

Justeru, tidak hairanlah Bran turut berada dalam kelompok lima bandar paling berhantu, meskipun saiznya jauh lebih kecil.

Bandar kecil itu mempunyai 103 lawatan hantu, jumlah yang mengatasi gabungan tarikan sama di Rome dan New Orleans.

Kebanyakan lawatan membawa peminat kisah Dracula menerokai Bran Castle, sebuah kubu lama yang cukup sinonim dengan legenda pontianak.

Itali Juga Penuh Dengan Kisah Seram

Kehidupan di Itali mungkin kelihatan romantik dengan seni Renaissance dan bangunan bersejarah, tetapi negara itu turut menyimpan kisah misteri tersendiri.

Rome menduduki tempat kedua sebagai bandar paling berhantu di dunia dengan jumlah keseluruhan 266 tanah perkuburan.

Namun, antara lokasi paling menarik perhatian peminat sejarah gelap ialah rangkaian katakomba yang terbentang jauh di bawah bandar.

Laluan bawah tanah itu menghubungkan beberapa kawasan perkuburan lama, termasuk San Callisto dan Domitilla yang sering dikunjungi pelancong.

Bergerak ke utara, Venice pula menduduki tempat keempat dengan terusan berkabus dan lebih 50 kawasan perkuburan.

Antara lokasi paling terkenal ialah San Michele, sebuah pulau yang dijadikan kawasan perkuburan sejak sekian lama.

Pengunjung yang ingin merasai pengalaman berbeza boleh menyertai hampir 30 lawatan hantu di sepanjang terusan sempit bandar tersebut.

Selain itu, Venice turut mempunyai 24 rumah berhantu, termasuk beberapa bangunan Renaissance yang menyimpan pelbagai kisah misteri.

New Orleans, Syurga Pelancongan Seram Amerika

Bandar di Eropah mungkin mempunyai kelebihan dari segi usia bangunan dan sejarah panjang, tetapi Amerika turut memiliki tarikan seram tersendiri.

New Orleans menduduki tempat ketiga dan sering dikaitkan dengan perkembangan pelancongan paranormal moden sejak era 1990-an.

Populariti bandar itu semakin meningkat selepas novel The Vampire Chronicles tulisan Anne Rice memperkenalkan sisi misterinya kepada pembaca.

Tidak lama kemudian, pelbagai lawatan berjalan kaki bertemakan hantu dan makam Gothic mula dianjurkan untuk menarik perhatian pengunjung.

Kini, New Orleans mempunyai 55 lawatan hantu serta 82 tanah perkuburan yang menjadi sebahagian tarikan pelancongannya.

Namun, tarikan seram bandar itu bukan sekadar berkisar tentang hantu, malah turut melibatkan kisah Voodoo dan legenda pontianak.

Antara lokasi sering dikaitkan dengan kisah misteri termasuk LaLaurie Mansion yang terkenal dengan balkoni besi tempa.

Selain itu, Jacques Saint-Germain House turut menjadi perhatian kerana pintu merah gelapnya yang dikaitkan dengan pelbagai cerita seram.

New Orleans kemudian membangunkan industri pelancongan gelap secara berperingkat sehingga menjana pendapatan berjuta-juta dolar setiap tahun.

Malaysia Juga Ada Lokasi Berhantu Yang Popular

Walaupun Malaysia tidak tersenarai dalam kajian tersebut, negara kita sebenarnya mempunyai beberapa lokasi yang cukup terkenal dengan kisah misteri.

Antaranya ialah Kellie's Castle, sebuah bangunan lama di Batu Gajah, Perak yang sering dikaitkan dengan cerita penampakan makhluk misteri.

Bangunan yang dibina oleh pengusaha ladang Scotland, William Kellie-Smith, itu tidak sempat disiapkan selepas beliau meninggal dunia pada 1926 ketika berada di Portugal.

Sejak sekian lama, istana tersebut dikaitkan dengan pelbagai cerita seram, termasuk dakwaan kemunculan kelibat misteri di sekitar bangunan berkenaan.

Selain Kellie's Castle, Muzium Perang Pulau Pinang turut dikenali sebagai antara destinasi pelancongan seram yang menarik perhatian pengunjung tempatan dan luar negara.

Lokasi lain seperti Lebuhraya Karak, Amber Court di Genting Highlands dan Pulau Jerejak juga sering menjadi bualan kerana kisah misteri masing-masing.

Jelaslah, Malaysia juga mempunyai tarikan tersendiri dalam dunia pelancongan seram, meskipun tidak tersenarai dalam kedudukan bandar paling berhantu dunia.

Sama ada kisah tersebut benar atau sekadar legenda yang diwariskan turun-temurun, cerita misteri seperti ini tetap mengundang rasa ingin tahu orang ramai.

Bagi penggemar kisah paranormal, lokasi sebegini bukan sekadar tempat untuk menguji keberanian, malah membuka peluang mengenali sejarah di sebalik setiap cerita.

Intipati
  • Bucharest menduduki tempat pertama dengan markah Pelancongan Gelap sempurna sebanyak 100 mata.
  • Rome, New Orleans dan Venice turut tersenarai kerana tarikan seram serta sejarah panjang.
  • Malaysia tidak tersenarai, namun beberapa lokasi tempatan terkenal dengan kisah misteri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan