Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Sungai Paling Terkenal Di Dunia

sungai
Sungai Mekong. Gambar: Worldatlas

Sungai merupakan antara khazanah alam yang memainkan peranan besar dalam membentuk kehidupan manusia sejak zaman dahulu.

Iklan

Selain menjadi sumber air, sungai turut menyediakan bekalan makanan, menjana tenaga, menjadi laluan perdagangan serta membantu perkembangan bandar dan tamadun awal.

Malah, terdapat beberapa sungai di dunia yang cukup terkenal kerana saiznya, kedudukan istimewa dalam kepercayaan masyarakat serta hubungannya dengan sejarah sesebuah negara.

Daripada Sungai Amazon yang memiliki aliran air terbesar di dunia hinggalah Sungai Mekong yang menjadi sumber kehidupan jutaan penduduk Asia Tenggara, setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri.

Berikut merupakan 10 sungai terkenal di dunia yang mempunyai kisah dan kepentingan tersendiri.

Sungai Amazon. Gambar: worldatlas

1. Sungai Amazon

Sungai Amazon di Amerika Selatan merupakan sungai yang mengalirkan jumlah air paling banyak di dunia, jauh mengatasi sungai-sungai lain.

Sungai ini mengalirkan kira-kira 209,000 meter padu air setiap saat ke Lautan Atlantik. Jumlah tersebut melebihi gabungan aliran air tujuh sungai terbesar yang berada di bawahnya.

Malah, Amazon menyumbang kira-kira satu perlima daripada keseluruhan air tawar yang mengalir ke lautan dunia.

Dengan panjang sekitar 6,400 kilometer, sungai ini berpunca dari kawasan pergunungan Andes di Peru sebelum merentasi Peru, Colombia dan Brazil.

Kedudukannya turut menjadikan Amazon antara sungai yang bersaing dengan Sungai Nil untuk gelaran sungai terpanjang di dunia. Perdebatan mengenai kedudukan tersebut kembali menjadi perhatian apabila ekspedisi baharu mengukur semula lokasi punca sungai.

Satu lagi keunikan Amazon ialah tiada jambatan yang merentasi saluran utamanya sepanjang sungai tersebut.

Lembangan Amazon juga menjadi habitat kepada kepelbagaian hidupan yang sangat tinggi, termasuk lebih 3,000 spesies ikan yang telah dikenal pasti.

Sungai Nil. Gambar: worldatlas

2. Sungai Nil

Sungai Nil sering dinobatkan sebagai sungai terpanjang di dunia dengan panjang kira-kira 6,650 kilometer.

Mengalir ke arah utara melalui 11 negara sebelum berakhir di Laut Mediterranean, sungai ini mempunyai keunikan kerana alirannya bergerak dari selatan ke utara.

Sungai Nil menerima bekalan air daripada dua cabang utama, iaitu Sungai Nil Putih yang berpunca berhampiran Tasik Victoria dan Sungai Nil Biru yang mengalir dari kawasan tanah tinggi Ethiopia.

Kedua-dua cabang tersebut bertemu di Khartoum sebelum meneruskan aliran ke utara.

Namun, kepentingan Sungai Nil bukan sekadar pada panjangnya. Sungai ini menjadi nadi kepada perkembangan tamadun Mesir Purba.

Mengalir merentasi kawasan gurun di Mesir dan Sudan, Sungai Nil menyediakan sumber air untuk pertanian serta membantu menyuburkan tanah di kawasan yang menerima hujan sangat sedikit.

Tanpa sungai tersebut, kehidupan masyarakat dan perkembangan tamadun di kawasan berkenaan pastinya berdepan cabaran besar.

3. Sungai Ganges

Sungai Ganges mengalir sepanjang kira-kira 2,500 kilometer merentasi utara India sebelum memasuki Bangladesh.

Bagaimanapun, kepentingan sungai ini bukan hanya diukur berdasarkan panjangnya, sebaliknya turut berkait rapat dengan kepercayaan dan kehidupan masyarakat Hindu.

Bagi ratusan juta penganut Hindu, Sungai Ganges dianggap sebagai sungai suci dan disembah sebagai dewi yang dikenali sebagai Ganga.

Menurut mitologi Hindu, Ganga merupakan anak perempuan Himavan, iaitu pemerintah kawasan pergunungan Himalaya.

Di sepanjang tebing sungai ini, terdapat bandar-bandar yang kehidupan masyarakatnya begitu dekat dengan aliran air berkenaan.

Ada penganut yang datang untuk mandi sebagai sebahagian daripada amalan keagamaan, manakala upacara pembakaran mayat turut dilakukan di kawasan tebing sungai di Varanasi.

Keadaan itu menjadikan Sungai Ganges antara sungai yang mempunyai hubungan paling erat dengan budaya, kepercayaan dan kehidupan seharian masyarakat setempat.

4. Sungai Mississippi

Sungai Mississippi merupakan sungai kedua terpanjang di Amerika Utara dengan jarak kira-kira 3,770 kilometer.

Bermula dari Tasik Itasca di Minnesota, sungai ini mengalir ke selatan sebelum berakhir di Teluk Mexico.

Sepanjang laluannya, Mississippi melalui atau bersempadan dengan 10 negeri di Amerika Syarikat, iaitu Minnesota, Wisconsin, Iowa, Illinois, Missouri, Kentucky, Tennessee, Arkansas, Mississippi dan Louisiana.

Sungai ini juga menjadi antara laluan perdagangan air paling sibuk di dunia, sekali gus menyokong industri perkapalan yang bernilai ratusan bilion dolar.

Selain kepentingan ekonomi, Mississippi turut menjadi laluan penting bagi hidupan liar.

Kira-kira 40 peratus burung migrasi di Amerika Utara menggunakan laluan Mississippi Flyway ketika melakukan penghijrahan.

Sungai ini juga cukup dikenali dalam dunia kesusasteraan Amerika menerusi karya penulis terkenal Mark Twain, yang menjadikan Mississippi sebagai latar kepada kisah Tom Sawyer dan Huckleberry Finn.

5. Sungai Thames

Sungai Thames mengalir sepanjang kira-kira 346 kilometer merentasi selatan England, termasuk kawasan tengah London, sebelum berakhir di Laut Utara.

Ia merupakan sungai terpanjang yang keseluruhan laluannya terletak di England. Sungai Severn mempunyai panjang lebih jauh, namun sebahagian laluannya turut merentasi Wales.

Selama kira-kira 2,000 tahun, Sungai Thames menjadi laluan penting yang menghubungkan London dengan kawasan luar.

Ketika zaman Rom, sungai ini dikenali sebagai Tamesis dan menjadi laluan perdagangan apabila kapal-kapal dari Laut Utara serta Selat Inggeris membawa barangan ke pelabuhan di sepanjang tebingnya.

Hari ini, beberapa mercu tanda terkenal London terletak berhampiran sungai tersebut, termasuk Menara London, Tower Bridge dan Bangunan Parlimen.

Menariknya, Sungai Thames yang suatu ketika dahulu merupakan antara sungai paling tercemar di Eropah kini dianggap sebagai antara sungai yang paling bersih dalam kalangan sungai yang mengalir melalui bandar utama.

6. Sungai Murray

Sungai Murray merupakan sungai terpanjang di Australia dengan panjang kira-kira 2,508 kilometer.

Berpunca dari kawasan Banjaran Alps Australia, sungai ini mengalir di sepanjang sempadan antara New South Wales dan Victoria sebelum berakhir di Lautan Selatan di Australia Selatan.

Hampir 2,000 kilometer daripada laluan sungai ini boleh dilalui kapal, sekali gus menjadikannya sungai ketiga terpanjang yang boleh dilayari di dunia selepas Amazon dan Nil.

Di sebuah negara yang terkenal dengan keadaan kering, sumber air daripada Sungai Murray amat penting untuk kegunaan penduduk dan kegiatan pertanian.

Sungai ini membekalkan air kepada kira-kira 1.5 juta isi rumah serta menyokong kawasan pertanian yang menghasilkan sebahagian besar buah-buahan Australia.

Malah, kira-kira 95 peratus daripada pengeluaran oren negara itu dikaitkan dengan lembangan sungai berkenaan.

7. Sungai Orinoco

Sungai Orinoco mengalir sepanjang kira-kira 2,140 kilometer merentasi Venezuela dan kawasan sempadan Colombia.

Walaupun kurang dikenali berbanding Amazon dan Nil, sungai ini sebenarnya berada pada kedudukan keempat terbesar di dunia berdasarkan jumlah aliran air.

Antara keunikan Orinoco ialah kewujudan saluran semula jadi dikenali sebagai Casiquiare.

Saluran tersebut bercabang daripada Sungai Orinoco dan menghubungkan lembangannya dengan lembangan Amazon. Fenomena ini menjadikan kawasan berkenaan antara lokasi unik di dunia apabila dua sistem sungai utama saling berhubung.

Perairan Orinoco turut menjadi habitat kepada pelbagai hidupan, termasuk buaya Orinoco yang sangat terancam, ikan lumba-lumba sungai, memerang gergasi, ular anaconda hijau serta lebih 1,000 spesies ikan.

8. Sungai Saint Lawrence

Sungai Saint Lawrence merupakan laluan utama yang membawa aliran air daripada kawasan Tasik-Tasik Besar di Amerika Utara ke arah timur laut Kanada sebelum berakhir di Lautan Atlantik.

Sungai ini menjadi saluran keluar utama bagi sistem tasik air tawar terbesar di dunia dan merupakan sungai kedua terbesar di Amerika Utara berdasarkan jumlah aliran air.

Dari sudut sejarah, Saint Lawrence memainkan peranan penting dalam penerokaan dan perkembangan kawasan pedalaman Kanada.

Sungai ini pernah menjadi laluan utama penjelajah Perancis, termasuk Jacques Cartier, untuk memasuki benua Amerika Utara.

Beberapa bandar penting seperti Montreal dan Quebec City turut berkembang di sepanjang sungai berkenaan.

Pada masa kini, Laluan Air Saint Lawrence membolehkan kapal laut bergerak jauh ke kawasan pedalaman benua tersebut.

Kawasan muara sungai yang luas juga menjadi habitat kepada ikan paus beluga dan sesekali dikunjungi paus biru.

9. Sungai Danube

Sungai Danube merupakan sungai kedua terpanjang di Eropah selepas Sungai Volga.

Dengan panjang kira-kira 2,850 kilometer, sungai ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mengalir melalui atau menyentuh sempadan 10 negara, iaitu jumlah tertinggi bagi mana-mana sungai di dunia.

Negara-negara tersebut ialah Jerman, Austria, Slovakia, Hungary, Croatia, Serbia, Romania, Bulgaria, Moldova dan Ukraine.

Sejak berabad-abad lalu, Danube menjadi laluan penting bagi perdagangan dan perluasan empayar.

Sehingga kini, sungai berkenaan masih digunakan untuk pengangkutan barangan, penjanaan tenaga hidroelektrik serta bekalan air kepada bandar-bandar di sepanjang laluannya.

Lebih menarik, Danube turut mengalir melalui lebih banyak ibu negara berbanding sungai lain di dunia.

Antaranya Vienna di Austria, Bratislava di Slovakia, Budapest di Hungary dan Belgrade di Serbia.

10. Sungai Mekong

Sungai Mekong mengalir sepanjang kira-kira 4,350 kilometer dari Dataran Tinggi Tibet sebelum merentasi kawasan Asia Tenggara.

Laluannya melalui atau bersempadan dengan China, Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam sebelum berakhir di laut.

Sungai ini menjadi sumber kehidupan kepada kira-kira 60 juta penduduk yang bergantung secara langsung kepadanya.

Selain menyediakan sumber air, Mekong turut menyokong kegiatan perikanan air tawar terbesar di dunia.

Dari segi kepelbagaian hidupan air tawar, sungai ini hanya berada di belakang Amazon. Antara spesies unik yang terdapat di dalamnya ialah ikan keli gergasi Mekong, yang merupakan antara ikan air tawar terbesar di dunia.

Mekong turut mempunyai satu fenomena alam yang menarik ketika musim monsun.

Aliran air menuju ke Tasik Tonle Sap di Kemboja akan berubah arah, menyebabkan paras air tasik meningkat sehingga beberapa kali ganda berbanding musim kering.

Keadaan ini mewujudkan kawasan perikanan yang sangat produktif dan menjadi sumber makanan serta pendapatan kepada masyarakat setempat.

Sungai Membentuk Kehidupan Dan Tamadun

Walaupun mempunyai keunikan dan kepentingan yang berbeza, kesemua sungai ini berkongsi satu peranan besar dalam kehidupan manusia.

Ada yang menjadi tempat suci bagi penganut agama, ada yang menjadi laluan perdagangan utama, manakala sebahagian lagi membekalkan air dan makanan kepada jutaan penduduk.

Daripada perkembangan tamadun purba hingga kehidupan masyarakat moden, sungai terus memainkan peranan penting dalam membentuk landskap, ekonomi dan budaya sesebuah kawasan.

Hakikatnya, dunia yang kita kenali hari ini mungkin jauh berbeza tanpa kewujudan sungai-sungai yang menjadi nadi kehidupan sejak dahulu.

Sumber:WorldAtlas
Intipati
  • Amazon mempunyai aliran air terbesar dunia dan biodiversiti tinggi di lembangannya.
  • Nil, Ganges dan Thames terkenal kerana kaitan kuat dengan tamadun, agama serta sejarah bandar.
  • Mississippi, Danube, Saint Lawrence dan Mekong memainkan peranan besar dalam perdagangan serta kehidupan penduduk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan