Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sony Lancarkan “Walkman” Terbaru, Mampu Akses Internet & Strim YouTube
Sony memanfaatkan kecintaan mereka terhadap barangan retro dengan melancarkan Walkman terbaru selepas lebih daripada 40 tahun Walkman versi kaset mula dijual, lapor Daily Mail.
Walkman NW-A306 membolehkan pengguna mengakses internet supaya mereka boleh memuat turun muzik dan strim daripada perkhidmatan langsung seperti Spotify dan YouTube.
Produk terbaru itu akan mempunyai skrin sentuh 3.6 inci serta kawalan fizikal di sisi supaya pengguna boleh mengawal volume atau menukar trek tanpa perlu mengeluarkannya dari poket.
Peranti baharu itu akan dijual pada harga Euro 349 (RM 1,600) lebih mahal daripada harga pasaran telefon pintar di pasaran. Namun begitu ia tidak boleh digunakan untuk membuat panggilan atau menghantar mesej teks.

NW-A306 menggunakan Android dan boleh memberikan akses kepada beberapa aplikasi asas termasuk aplikasi muzik yang sangat penting dan juga carian Google Chrome.
Ia bakal menemui pembeli selepas 44 tahun Sony mengeluarkan Walkman pertama, TPS-L2 pada 1 Julai 1979 di Jepun.
“Nikmati bunyi yang berkualiti tinggi daripada peranti muzik yang bergaya dan padat ini serta membolehkan anda memuat turun dan menstrim lebih banyak muzik yang anda suka,” kata Sony mengenai peranti terbarunya itu.
“Boleh disambung ke Wi-Fi, bateri yang tahan lebih lama dan reka bentuk yang bergaya dan anggun, anda boleh memainkan dan mencari muzik baharu ke mana sahaja anda mahu pergi,”tambah Sony lagi.

Selain boleh mengakses internet, peranti baharu itu juga boleh disambungkan ke PC serta membolehkan pengguna untuk memindahkan muzik dari komputer ke peranti seperti cara yang lama.
NW-A306 juga menggunakan AI untuk mempertingkatkan fail muzik digital yang dimampatkan kepada kualiti yang lebih tinggi.

Sony mendakwa bahawa peranti ini adalah khas untuk pencinta muzik kerana ia menawarkan kualiti bunyi yang tidak terdapat pada kebanyakan telefon pintar.
Walaupun firma itu menawarkan pelbagai pilihan wayarles “in-ear” dan “headband”, namun Walkman terbaru Sony ini tidak akan disertakan dengan fon kepala.


NW-A306 mempunyai hayat bateri sehingga 36 jam dan menggunakan sistem pengendalian Android 12. Walkman itu juga didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu biru dan hitam.
Sumber: Daily Mail