Siakap Keli
Kredit: Batang Polres via Detik.com

Lelaki Dilapor Maut, Disyaki Dipukul Sekumpulan Penunggang Motosikal

Lelaki Dilapor Maut, Disyaki Dipukul Sekumpulan Penunggang Motosikal

INDONESIA – Sekumpulan penunggang motosikal berjaya ditahan oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Polis Batang apabila disyaki memukul seorang lelaki sehingga maut di daerah Batang, Indonesia.

Memetik laporan Detik.com, insiden yang melibatkan beberapa remaja itu berlaku pada Jumaat yang lalu.

Difahamkan, pergaduhan kumpulan motosikal itu bermula apabila mereka saling mencabar antara satu sama lain di media sosial.

Kedua-dua kumpulan itu kemudiannya membuat keputusan untuk berjumpa sebelum dilihat bergaduh di sempadan antara daerah Pekalongan dan Batang.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila mangsa terpisah daripada kumpulan motosikalnya.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Batang, AKP Yorisa Prabowo, pihaknya telah berjaya menahan 14 penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam insiden berkenaan.

“Ya, pada malam Jumaat kami menerima laporan daripada ibu bapa mangsa yang maut akibat dipukul oleh geng motosikal. Kami telah membuat kajian yang mendalam dan berjaya menahan kesemua pelaku yang terlibat,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang maut berumur 21 tahun dan merupakan penduduk di Kampung Karangasem Selatan, daerah Batang.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat luka tetakan daripada pisau tajam selepas dipukul oleh pelaku berkenaan.

Ekoran kejadian, ibu bapa mangsa segera melaporkan kejadian tersebut pada malam Jumaat sebelum pelaku ditangkap pada hari Sabtu.

Dalam pada itu, AKP Yorisa Prabowo menambah bahawa kesemua suspek yang terlibat berasal dari Kota Pekalongan.

Polis turut menemukan beberapa senjata tajam termasuk 3 pedang, telefon bimbit dan motosikal.

Sementara itu, polis turut memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan terhadap kumpulan motosikal dari Kota Pekalongan itu.

“Kami masih menjalankan siasatan, perkembangan yang selanjutnya akan dilaporkan kemudian,” tambahnya.

Sumber: Detik.com

Farah Nabilah