Siakap Keli

Mangsa Belasahan Penunggang Motosikal Berhenti Kerja

Rakaman cctv seorang lelaki dipukul dan dibaling dengan objek oleh sekumpulan penunggang motosikal di sebuah kaunter stesen minyak menjadi tular di media sosial sejak semalam dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.

Susulan kejadian berkenaan, mangsa yang juga pekerja stesen minyak di Petronas Cawangan Sungkai itu, dilaporkan telah mengambil keputusan berhenti kerja setelah berkhidmat hampir tiga tahun di situ.

Menerusi satu portal media tempatan, penyelianya, Erni Nadia Zahari berkata, mangsa yang dikenali sebagai Wan berumur 24 tahun itu telah memberikan surat berhenti kerja kepada beliau pagi semalam.

Menurutnya lagi, mangsa tidak mempunyai masalah sepanjang bekerja di situ tetapi dia tidak dapat dihubungi sama ada menerusi panggilan atau WhatsApp sejak lewat malam tadi setelah penularan video tersebut.

Mangsa yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mempunyai adik-beradik yang ramai dan masih bersekolah bekerja di stesen minyak itu demi membantu menyara kehidupan keluarganya.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Tapah, Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku pada 6 Oktober lepas, kira-kira 12.45 tengah hari.

Katanya semasa kejadian, mangsa yang berumur 23 tahun sedang bekerja di kaunter stesen minyak berkenaan sebelum didatangi sekumpulan penunggang motosikal yang mahu mengisi minyak.

“Salah seorang daripada lelaki tersebut memesan untuk mengisi minyak tetapi tidak memaklumkan  kepada mangsa yang bertugas di kaunter untuk mengisi minyak jenis RON 97.

“Mangsa kemudiannya memberikan minyak RON 95 menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati sebelum sekumpulan kawan lelaki itu kembali semula ke kaunter dan menarik mangsa keluar biarpun mangsa telah meminta maaf,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata seorang daripada kumpulan lelaki tersebut memukul dan membaling air tin kepada mangsa menyebabkan mangsa mengalami kesan lebam di bahagian muka.

Tambahnya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu tidak dapat mengenal pasti suspek yang terlibat dan nombor pendaftaran motosikal juga tidak jelas.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.