Siakap Keli
puteri sarah tuntut cerai
Kredit: IG Puteri Sarah

Tuntut Cerai: ‘Ini Jalan Terbaik, Keputusan Saya Muktamad’ – Sarah

Pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan keputusannya untuk memfailkan penceraian terhadap suaminya, Syamsul Yusof adalah jalan terbaik dan muktamad, lapor Sinar Harian.

Katanya, suaminya tidak mempunyai peluang kedua kerana sepanjang kemelut rumah tangga yang berlaku sejak empat tahun lalu, mereka berdua tidak menemukan jalan yang terbaik.

“Ini adalah jalan terbaik dan keputusan saya muktamad,” ujarnya ketika ditemui media pada hari ini.

Puteri Sarah yang dilihat mengenakan pakaian serba hitam tiba di pekarangan mahkamah ditemani dua adiknya, sekitar 10.25 pagi.

Turut hadir peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah.

Terdahulu, media melaporkan Puteri Sarah kelihatan tenang dan bersemangat ketika tiba di mahkamah tersebut.

Dia memaklumkan berasa ‘bersemangat’ selepas bangun dari tidur pagi tadi.

“Saya sudah bersedia selain bersemangat sebab ada adik-beradik datang menemani,” katanya.

Peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Puteri Sarah memberitahu pemberita sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac ini di hadapan Hakim Syarie Akmalludin Ilyas dan pihaknya akan menyerahkan saman itu kepada defendan dan beliau perlu hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut bagi menjawab saman.

Menurut Puteri Sarah, mereka berdua sudah tidak mempunyai persefahaman dan boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya berpanjangan.

“Saya percaya oleh kerana tiada persefahaman antara kedua-dua pihak, maka jika diteruskan mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada kami, khususnya diri saya, emosi saya dan anak-anak. Oleh itu, saya mohon mahkamah meluluskan permohonan perceraian ini,” katanya.

Dia turut berkata poligami itu indah jika seorang suami itu berlaku adil, tetapi setelah ditipu Puteri Sarah merasakan penceraian merupakan jalan terbaik untuk dia dan suaminya.

“Tapi disebabkan saya ditipu dan beliau tidak minta izin (untuk berkahwin lain), jadi saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk saya.

“Saya telah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik sebelum ini dan telah berbincang dengan keluarga serta berjumpa ustaz dan ustazah untuk menyelesaikan masalah,” kata Puteri Sarah yang turut memaklumkan beliau berbincang dengan keluarga sebelum memfailkan perceraian.

Sejak tahun lepas, kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul Yusof menjadi perhatian orang ramai susulan dengan pengakuan pengarah tanah air mengenai pernikahan yang keduanya.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Tenang Dan Bersemangat, Puteri Sarah Tiba Di Mahkamah Fail Penceraian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana