Siakap Keli
guru besar hilang wang bantuan
Kredit: BERNAMA

Guru Besar Hilang Wang Bantuan Awal Persekolahan RM109,00 Selepas Tingkap Kereta Dipecah

KUALA LUMPUR (Bernama) — Seorang guru besar kehilangan wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya, di Semenyih dekat sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 12.17 tengah hari, daripada lelaki berusia 50 tahun itu.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah mengeluarkan wang berkenaan daripada sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi dan memasukkannya di dalam sebuah beg. Mangsa kemudian meletakkan beg berkenaan di tempat duduk penumpang hadapan keretanya,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Mohd Zaid berkata mangsa yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Semenyih, kemudian meninggalkan keretanya dan pergi ke kedai makan untuk membeli minuman.

Namun sekembalinya ke kereta, mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

Mohd Zaid berkata usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Menteri jamin akan ganti semula

Menurut laporan Bernama pada 19 Jan berikutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan wang peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dilarikan penjenayah itu akan diganti dan diagihkan kepada murid sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mengakui ralat dengan kes kehilangan wang itu, berkata KPM sedang menunggu kelulusan dan jawapan daripada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai gantian tersebut.

“Duit yang hilang itu akan diganti. Jangan risau, itu hak anak-anak. Kita ralat dan kesal dengan kejadian ini berlaku tetapi pastinya keutamaan adalah hak anak-anak ini yang kita mesti serahkan kembali hak mereka,” katanya dalam sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga kementerian, di sini, hari ini.

Beliau berkata guru besar sekolah berkenaan juga akan disiasat mengikut tatatertib penjawat awam kerana berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang BAP.

Sumber: BERNAMA

BACA: Bekas Guru Besar SRA Didakwa Minta Dan Terima Suapan Lebih RM160,000

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana