Siakap Keli
kilang tayar terbakar
Gambar: Tangkap layar video viral

Kilang Kertas Terpakai Sungai Petani Dilapor Terbakar Dijilat Api

Sebuah kilang memproses kertas terpakai di Taman Perindustrian Ria Jaya, Sungai Petani di Kedah dilaporkan hampir musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Dalam perkongsian Shaiful (@Bancikzzz) di laman TikTok, kebakaran dipercayai mula berlaku seawal jam 5 pagi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Memetik Bernama, seorang pegawai bersama dua anggota bomba cedera semasa bertugas memadamkan kebakaran di sebuah kilang tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pegawai yang cedera itu ialah Muhd Farhan Shaari@Zakaria, 41, serta dua anggota Muhd Alawi Mohd Norizan, 34, dan Nurul Harfizah Ahmad, 41.

Beliau berkata mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani itu bergegas ke lokasi kejadian bersama anggota bomba lain selepas menerima laporan mengenai kebakaran itu pada 5.18 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua unit bangunan kilang memproses kertas terpakai dan semasa proses memadamkan kebakaran, tiga anggota kita mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata Muhd Farhan cedera pada kaki kanan akibat ditimpa timbunan kertas manakala Muhd Alawi melecur pada leher akibat tali alat pernafasan (neck strap BA) melebur.

“Seorang lagi anggota, Nurul Harfizah mengalami cedera ringan pada pipi…kesemua mereka yang cedera ini telah dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini,” katanya.

Mengenai kebakaran kilang itu, beliau berkata seramai 30 anggota serta pegawai bomba dari BBP Aman Jaya dan BBP Sungai Petani terlibat dalam operasi pemadaman api itu.

“Kami juga dibantu 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) iaitu Semeling, Bedong, Sungai Petani, Merbok, Bakar Arang, Padang Lembu, Gurun, Kota Sarang Semut, Tanah Merah dan PBS Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata peratus kemusnahan masih belum diketahui kerana operasi memadam kebakaran kilang itu masih berlangsung sekali gus punca dan jumlah kerugian juga belum dapat dipastikan.

Kredit: @Bancikzzz via Tiktok

Sumber: @Bancikzzz via Tiktok

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana