Microsoft Dilapor Bakal Pecat Lebih 10,000 Pekerjanya Mulai 19 Januari
Microsoft dilaporkan bersedia untuk memberhentikan lima peratus daripada tenaga kerjanya pada 19 Januari ini, sebelum pengumuman pendapatan suku tahunannya minggu depan.
Syarikat gergasi tersebut dilaporkan memiliki tenaga kerja melebihi 220,000 pekerja dan dianggarkan kira-kira 10,000 pekerja bakal terlibat dalam proses pemberhentian besar-besaran berkenaan.
Bloomberg melaporkan bahawa pemberhentian itu akan menyasarkan bahagian kejuruteraan Microsoft.
Pada 2022 lalu, Microsoft telah mengurangkan satu peratus daripada tenaga kerjanya. Mereka yang terlibat ialah pekerja di bahagian perundingan pelanggan dan rakan kongsi.
Menurut Bloomberg lagi, pemberhentian pekerja pada tahun ini dilaporkan akan menjadi “lebih besar”.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Selain itu, The Business Times melaporkan bahawa Microsoft diramalkan mencatatkan keuntungan jualan sebanyak dua peratus pada suku ketiga fiskal apabila ia melaporkan pendapatan pada 24 Januari, yang akan menjadi peningkatan hasil paling perlahan sejak fiskal 2017.
Microsoft ialah syarikat gergasi teknologi yang terkini antara yang terkesan memberhentikan pekerjanya ekoran daripada kemerosotan dalam permintaan dan kemelesetan global yang dijangkakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella memberi amaran tentang dua tahun cabaran yang akan datang bagi industri teknologi dalam temu bualnya bersama CNBC beberapa minggu yang lalu.
“Dua tahun akan datang mungkin akan menjadi yang paling mencabar. Kami mempunyai banyak pecutan semasa pandemik dan terdapat beberapa jumlah normalisasi permintaan tersebut.
“Selain itu, terdapat juga kemelesetan yang nyata di beberapa bahagian di dunia,” kata Nadell dalam temu bual tersebut.
Trend syarikat gergasi teknologi yang merundum boleh dikaitkan dengan “persekitaran makroekonmi yang luar biasa dan tidak menentu”, sama seperti Amazon yang memberhentikan 18,000 kakitangannya setakat Januari 2023.
Semasa pandemik lalu, syarikat teknologi telah membuat pengambilan pekerja yang besar bagi membantu memudahkan permintaan yang meningkat untuk langkah penyelesaian yang pantas.
Sumber: Mothership