Siakap Keli
20 Pejabat Pengeluar Pasport Beroperasi Pada Sabtu
Gambar: Bernama

20 Pejabat Pengeluar Pasport Beroperasi Pada Sabtu, Ahad Mulai 28 Jan

20 Pejabat Pengeluar Pasport Beroperasi Pada Sabtu, Ahad Mulai 28 Jan

SEPANG, 19 Jan (Bernama) — Sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport Jabatan Imigresen (JIM) terpilih akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad mulai 28 Jan ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pejabat terbabit akan beroperasi dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi mengatasi isu kesesakan ekoran peningkatan permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Pejabat terlibat ialah Menara Ikhlas di Putrajaya; Jalan Duta dan Wangsa Maju di Kuala Lumpur; Shah Alam, Kelana Jaya, Kajang, Puchong, Pelabuhan Klang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Baru di Selangor; Setia Tropika, Kulai, Muar, Kluang dan Batu Pahat di Johor; Melaka; Taiping dan Teluk Intan di Perak; Seberang Jaya di Pulau Pinang serta Kulim di Kedah.

“Semua pejabat ini akan terus beroperasi hingga isu kesesakan terkawal. Ini komitmen kita. Inisiatif ini adalah langkah munasabah dan inovatif,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport JIM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution turut mengumumkan pelanjutan waktu operasi pejabat JIM di Pusat Transformasi Bandar (UTC) hingga 7 malam pada hari biasa dan 5 petang pada Sabtu dan Ahad kecuali di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dibuka pada Jumaat dan Sabtu.

Beliau berkata pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 menyaksikan peningkatan pengeluaran pasport sebanyak 25 peratus iaitu 2.58 juta pada 2022 berbanding 2.01 juta pada 2019.

“Untuk tahun ini hingga 17 Jan, JIM telah mengeluarkan sebanyak 156,711 pasport,” katanya.

Mengenai pembukaan Pejabat Pengeluar Pasport JIM KLIA, Saifuddin Nasution berkata pejabat terbabit akan memanfaatkan lebih 3.4 juta penduduk setempat termasuk penduduk di Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan.

Beliau berkata sehingga kini, pejabat berkenaan yang beroperasi secara percubaan pada 16 Dis lepas telah mengeluarkan 182 pasport.

“JIM akan terus memantau sambutan terhadap pejabat ini sebelum merancang untuk membuka pejabat sama di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal