Siakap Keli
jacinda ardern letak jawatan
Kredit: AFP

Jacinda Ardern Umum Letak Jawatan Sebagai Perdana Menteri New Zealand

Jacinda Ardern Umum Letak Jawatan Sebagai Perdana Menteri New Zealand

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern telah mengumumkan peletakan jawatannya dalam satu pengumuman mengejut ketika sidang media pada Khamis, lapor The Guardian.

Dalam pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat tahunan parti itu, Ardern berkata beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri tersebut adalah kerana masanya sudah tiba.

“Saya letak jawatan sebab setiap tugasan penting pasti disusuli dengan tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah bila anda tahu anda ialah orang yang layak untuk memimpin dan bila masanya untuk tidak lagi memimpin.

“Saya tahu apa yang diperlukan dalam jawatan ini. Dan saya tahu bahawa saya tidak lagi mempunyai peranan (dalam kerajaan). Itu saja,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan penggal pentadbiran beliau sebagai perdana menteri akan berakhir selewat-lewatnya pada 7 Februari depan.

“Saya manusia, ahli politik juga adalah manusia. Kami memberikan semua yang kami mampu selagi kami larat untuk melakukannya.

“Kemudian masa tersebut juga akan ‘tiba’. Dan bagi saya, sudah tiba masanya,” ujar Ardern.

Katanya, beliau telah memikirkan semasa cuti musim panas sama ada dia mempunyai tenaga untuk meneruskan peranan itu dan telah membuat kesimpulan dia tidak akan meneruskan lagi.

Untuk rekod, Ardern telah menjadi ketua kerajaan wanita termuda di dunia apabila dia dipilih sebagai perdana menteri pada tahun 2017 ketika beliau berusia 37 tahun.

Beliau telah memimpin New Zealand semasa pandemik Covid-19 melanda dan bencana besar termasuk serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch dan letusan gunung berapi Pulau Putih.

Ditanya mengenai bagaimana beliau mahu rakyat New Zealand mengingati kepimpinannya, Ardern berkata beliau mahu diingati sebagai seorang yang sentiasa cuba bersikap baik.

“Saya harap saya meninggalkan warga New Zealand dengan kepercayaan bahawa anda boleh menjadi baik, tetapi kuat, empati tetapi tegas, optimistik tetapi fokus.

“Dan bahawa anda boleh menjadi pemimpin anda sendiri, seorang yang tahu bila masanya untuk pergi,” tambah Ardern lagi.

Memetik Daily Mail, Ardern sempat menyelit mesej kepada tunangnya Clarke Gayford.

“Akhirnya, mari kita berkahwin,” kata Ardern.

Sumber: The Guardian

BACA: PM New Zealand Batalkan Rancangan Perkahwinan Ekoran Lonjakan Kes Omicron

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana