Siakap Keli
China Bina Kolam Ikan Gergasi Di Laut
Gambar: Xinhua

Jamin Bekalan Makanan, China Bina Sangkar Ikan Gergasi Di Laut, Bela Hampir 300,000 Ekor Salmon

Jamin Bekalan Makanan, China Bina Sangkar Ikan Gergasi Di Laut, Bela Hampir 300,000 Ekor Salmon

Sebagai sebuah negara dengan populasi penduduk melebihi 1 bilion, China nyata mempunyai cara yang tersendiri untuk memastikan bekalan makanan dalam negaranya terjamin.

Salah satunya menerusi projek sangkar gergasi yang dibina di kawasan laut untuk membiak dan memelihara ikan salmon.

Dikenali sebagai Deep Blue Number 1, projek berkenaan sudahpun memberikan pulangan yang memberasangkan apabila kumpulan pertama ikan salmon berjaya ‘dituai’ pada Jun tahun lepas.

Kenapa Deep Blue Number 1 dibina?

Sejak beberapa tahun kebelakangan, permintaan rakyat China terhadap ikan salmon meningkat seiring dengan peningkatan standard hidup yang dinikmati mereka.

Menurut data pasar basah di Beijing, terdapat kumpulan pelanggan setia yang dilapor membeli ikan salmon segar di pasar itu dua hingga tiga kali setiap minggu. Kebanyakan mereka terdiri daripada individu pertengahan umur dan pekerja profesional.

Selain itu, ikan salmon juga mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengusaha restoren sushi di sana. Difahamkan, ada restoren di Beijing mampu menjual sehingga 60,000 piring sushi setiap bulan.

Antara faktor lain pelaksanaan projek tersebut adalah kerana kebergantungan China terhadap import salmon atlantik untuk memenuhi permintaan domestik. Negara itu turut berdepan dengan kekurangan bekalan apabila dunia dilanda pandemik Covid-19 pada 2020.

Saiz gergasi Deep Blue Number 1

Idea untuk menternak ikan secara mega di laut dalam bukanlah perkara asing di China. Malah, seawal pertengahan abad ke-20, saintis-saintis di negara itu sudah pun mengusahakan pelbagai idea pembangunan namun dibantutkan dengan segala macam masalah teknikal. Ia menyaksikan aktiviti penternakan ikan di laut negara itu hanya berlaku di kawasan persisiran pantai sahaja.

Bagaimanapun, dengan peningkatan dana pembangunan, saintis-saintis ini berjaya menguasai teknologi penternakan di laut dalam seterusnya membawa kepada penciptaan Deep Blue Number 1.

Jika dilihat dari langit, sangkar gergasi ini dibina dalam bentuk octagonal dan dianggarkan mempunyai berat lebih 1,500 tan. Untuk perbandingan, saiz sangkar ini menyamai keluasan dua padang bola sepak. Rekaan bentuk octagonal itu dikatakan adalah jawapan kepada beberapa masalah penternakan di laut dalam antaranya isu kawalan serangan ikan jerung dan juga mekanisme kawalan tenggelam-apung.

Ikan salmon atlantik merupakan ikan yang hidup di kawasan air sejuk. Dengan mekanisme tenggelam-apung, sangkar berkenaan dapat digerakkan secara turun naik dengan mudah. Apabila suhu permukaan air terlalu panas, sangkar itu diturunkan sehingga kedalaman 25 meter dimana suhu air lebih sejuk.

Apabila suhu menurun ketika musim sejuk, sangkar akan dinaikkan ke kawasan dengan suhu bersesuaian supaya ikan salmon dapat membesar dengan sempurna.

Selain itu, Deep Blue 1 juga dilengkapi dengan sistem kawasalan biojisim. Ia membenarkan pengendali mengawal perkembangan ikan dengan mudah secara masa nyata. Teknologi ini juga membenarkan pengendali untuk menentukan jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan-ikan salmon ini supaya dapat membesar kepada saiz yang ditetapkan.

Rumah kepada 100,000 ikan salmon

Terletak kira-kira 130 batu nautika daripada Laut Kuning, Deep Blue Number 1 mampu menempatkan  100,000 – 300,000 ekor ikan salmon atlantik.

Untuk tangkapan kumpulan pertama pada Jun lepas, sebanyak 15,000 ekor ikan salmon dikeluarkan daripada sangkar dan sedia untuk dipasarkan.

Berbanding kaedah tradisional, ikan-ikan ini ditangkap menggunakan satu tiub gergasi yang dimasukan ke dalam sangkar. Tiub berkenaan akan menyedut satu persatu ikan salmon mengikut jumlah yang ditetapkan.

Ikan-ikan itu kemudian dibungkus dalam plastik khas dan diletakkan di dalam kotak. Kotak-kotak itu pula akan diisi dengan ais bagi mengekalkan suhu diantara 0-4 darjah celcius. Hasil tangkapan seterusnya akan dipindahkan ke kapal dan sedia dibawa ke daratan. Secara keseluruhan, proses berkenaan hanya memakan masa selama 45 minit sahaja.

 

Kredit: Fish Site

Ikan-ikan berkenaan juga dikatakan berjaya mencapai standard yang ditetapkan Eropah untuk dipasarkan dalam pasaran rantau tersebut.

BACA: Mayat Wanita Ditemukan Terapung Di Pulau Perhentian

Sumber: The Fish Site, Xinhua

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma