Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bila sebut mengenai keterjaminan dan bekalan makanan, ia mungkin dianggap sebagai topik yang membosankan dan ada sesetengah yang memandang enteng.
Namun, bila berlaku sebarang bencana, perang atau perubahan iklim yang melampau, ketiadaan bekalan makanan untuk kelangsungan hidup menjadi sesuatu yang sangat mustahak kepada kita semua.
Mungkin masih ramai yang tidak sedar bahawa kita kini sedang menuju ke arah pembentukan El Nino, dengan fenomena itu dijangka muncul dalam beberapa bulan akan datang.
Lebih membimbangkan, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat meramalkan bahawa El Nino pada kali ini mungkin jauh lebih ekstrem.

Dalam erti kata lain, kita akan lebih banyak berdepan dengan cuaca kering dan panas, selain peningkatan suhu melampau.
Apabila hujan tidak mencukupi, sektor pertanian menjadi antara yang pertama terjejas. Kesannya kemudian merebak kepada tanaman, ternakan, aset isi rumah dan jaminan makanan.
Bagi yang belum tahu, analisis terbaru daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mendedahkan ramalan kawasan yang terjejas akibat El Nino.

Ia sekaligus meningkatkan risiko kepada mata pencarian yang bergantung kepada pertanian dan keselamatan makanan.
FAO juga telah melakukan analisis menggunakan imej satelit daripada Sistem Indeks Tekanan Pertanian (ASIS ), yang meneliti kawasan yang mengalami kemarau paling teruk ketika kejadian El Nino dalam kategori kuat dan sangat kuat berlaku.
Penemuan ini menunjukkan kebarangkalian kemarau pertanian yang tinggi di seluruh wilayah pengeluar utama semasa tempoh pertumbuhan, sejajar dengan ramalan hujan serantau yang menunjukkan hujan di bawah purata pada bulan-bulan akan datang.
Sahel
Masalah ketidakjaminan makanan semakin memburuk selama lima tahun berturut-turut di Sahel. Manakala, konflik terus menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal serta menyukarkan akses bantuan kepada komuniti yang terdedah.
Di kawasan yang mempunyai ruang pemulihan sangat terhad, kekurangan hujan walaupun pada kadar sederhana boleh menjejaskan pengeluaran makanan dan pendapatan penduduk.

Peta menunjukkan satu jalur luas kemarau pertanian yang merentasi Senegal dan selatan Mauritania, sebelum meliputi Côte d’Ivoire, Ghana, Togo, Benin dan Nigeria, serta berlanjutan lebih jauh ke timur hingga Ethiopia dan Sudan.
Afrika Selatan
Bagi Afrika Selatan pula, petunjuk risikonya lebih ketara.
Kitaran El Nino terbaharu telah menyebabkan rantau itu mengalami kemarau terburuk dalam tempoh lebih satu abad, sehingga 61 juta orang memerlukan bantuan.
Keadaan tersebut turut memberi tekanan kepada ternakan, sistem bekalan air dan kawasan padang ragut, selain menyebabkan lebih lapan juta orang berdepan ketidakjaminan makanan.

Ramalan FAO menunjukkan kebarangkalian melebihi 50 peratus berlakunya kemarau pertanian di sebahagian besar Namibia dan Botswana, sebelum meluas ke Angola, Zambia, Zimbabwe, Afrika Selatan serta beberapa kawasan di Mozambique dan Madagascar.
Di rantau yang sangat bergantung pada ternakan sebagai sumber makanan dan kekayaan isi rumah, kehilangan kawasan ragut boleh dengan cepat menyebabkan penduduk kehilangan aset serta sumber pendapatan.
Amerika Tengah
Di Amerika Tengah dan Caribbean, risiko kemarau boleh memberi kesan langsung kepada penduduk.
Untuk pengetahuan, kejadian El Nino pada 2015 hingga 2016 menyebabkan 3.5 juta orang berdepan ketidakjaminan makanan di Koridor Kering Amerika Tengah.
Di Haiti pula, hasil tuaian merosot sehingga 70 peratus di sesetengah kawasan, sekali gus menyebabkan kadar ketidakjaminan makanan meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa bulan.

Ramalan semasa menunjukkan kebarangkalian 70 peratus bahawa rantau berkenaan akan menerima taburan hujan di bawah paras normal.
Risiko kemarau pertanian paling tinggi dijangka berlaku di sepanjang Koridor Kering Amerika Tengah, Colombia dan Venezuela, serta negara-negara Caribbean seperti Cuba, Republik Dominika dan Haiti.
Asia
El Nino juga akan memberi kesan kepada kawasan di Asia dan sekaligus turut menjejaskan pasaran global.
Fenomena itu boleh melemahkan monsun musim panas di sebahagian besar India, sekali gus memberi tekanan kepada tanaman yang bergantung pada hujan seperti padi dan jagung ketika musim penanaman penting.
Pada 2015, pengeluaran jagung India merosot sebanyak empat peratus, manakala pengeluaran beras turun satu peratus, menyebabkan bekalan menjadi lebih ketat di salah sebuah negara pengeluar beras terbesar dunia.

Di seluruh Asia Tenggara, kejadian sama menyebabkan kehilangan kira-kira 15 juta tan beras, sekali gus menaikkan harga dan meningkatkan tekanan terhadap negara yang bergantung pada import.
Risiko kemarau pertanian dijangka meliputi Asia Selatan dan Asia Tenggara, bermula dari Pakistan dan India hingga Myanmar, Thailand, Kemboja dan Vietnam, sebelum meluas lebih jauh ke timur termasuk Filipina, Indonesia dan Timor-Leste.
Dengan lebih 80 peratus daripada kesan kemarau yang diramalkan dijangka menjejaskan sektor pertanian di negara berpendapatan rendah dan sederhana, peta yang dikongsikan oleh FAO memberi peluang untuk tindakan diambil sebelum ramalan itu bertukar menjadi kerugian sebenar.
Setiap kitaran El Nino mendedahkan kelemahan yang sama, termasuk kegagalan tanaman, kehilangan ternakan, peningkatan hutang isi rumah serta penghijrahan untuk mencari makanan dan air.
Bahkan, pada 2015 hingga 2016, El Nino menjejaskan lebih 60 juta orang dan mencetuskan rayuan bantuan kemanusiaan bernilai AS$5 bilion di 23 buah negara.
Justeru, sejauh mana bekalan makanan dunia boleh terjejas akibat El Nino? Kesannya mungkin tidak sama di setiap negara, namun bagi kawasan pengeluaran utama yang bergantung pada hujan, ancamannya boleh menjadi besar.
Pengeluaran makanan boleh merosot, harga boleh meningkat dan negara pengimport berisiko berdepan tekanan bekalan yang lebih serius.
Kesimpulannya, setiap negara perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan terutama apabila melibatkan mengenai keterjaminan makanan dan kelangsungan hidup rakyat.