Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

NOAA Ramal Super El Nino Berpotensi Terjadi, Bawa Kesan Tak Pernah Dilihat Sebelum Ini

super el nino kesan
Kredit: Flow/AI

NOAA Ramal Super El Nino Berpotensi Terjadi, Bawa Kesan Tak Pernah Dilihat Sebelum Ini

Laporan terbaharu daripada Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat mendedahkan keberangkalian fenomena El Nino untuk berlaku kini mencecah 61 peratus.

Walaupun fenomena ini lazim berlaku setiap beberapa tahun, penyelidik percaya kini percaya El Nino ppada kali ini mungkin jauh lebih ekstrem.

NOAA menjangkakan terdapat 1/4 keberangkalian bahawa fenomena tersebut boleh mencapai tahap “sangat kuat” yang dikenali sebagai Super El Niño.

Dalam rekod sejarah moden, fenomena super El Niño hanya pernah berlaku beberapa kali sahaja dan setiap daripadanya dikaitkan dengan bencana cuaca besar seperti kemarau, banjir serta peningkatan suhu melampau di pelbagai rantau dunia.

Lebih membimbangkan lagi, saintis berpendapat gabungan fenomena semula jadi ini dengan pemanasan global akibat aktiviti manusia berpotensi menghasilkan kesan yang belum pernah dialami atau dilihat sebelum ini.

Malah, profesor sains atmosfera dari University at Albany, Paul Roundy berkata, terdapat kemungkinan sekitar 50 peratus bahawa fenomena kali ini boleh menjadi El Niño paling kuat pernah direkodkan.

Apa itu El Nino dan mengapa kali ini berpotensi jadi Super El Nino serta kesan kepada Bumi

Portal Science Focus menjelaskan bahawa El Niño ialah fenomena iklim berkala yang berlaku apabila suhu permukaan laut di kawasan tropika Lautan Pasifik meningkat secara luar biasa.

Kebiasaannya, angin akan menolak air panas ke arah barat Lautan Pasifik.

Namun, apabila angin ini menjadi lemah atau berubah arah, haba yang terkumpul akan bergerak ke arah timur sepanjang garisan khatulistiwa.

Fenomena super El Niño pula ditakrifkan apabila suhu permukaan laut di kawasan tengah Pasifik meningkat melebihi 2 darjah Celsius berbanding paras normal.

Kredit: Flow/AI

Setakat ini, hanya tiga super El Niño direkodkan iaitu pada tahun 1982/83, 1997/98 dan 2015/16.

Malah pada tahun 1876, sebelum kewujudan sistem meteorologi moden, super El Niño dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kebuluran besar dunia sehingga mengorbankan kira-kira 50 juta nyawa.

Manakala pada tahun ini, satu siri tiupan angin barat yang sangat kuat di Lautan Pasifik telah menolak sejumlah besar air panas ke arah timur berhampiran kawasan khatulistiwa.

Keadaan itu dilihat hampir menyerupai situasi pada tahun 1997 yang akhirnya mencetuskan antara El Niño paling kuat abad ke-20.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkembangan fenomena tersebut masih belum muktamad kerana perubahan corak angin pada masa akan datang masih boleh mempengaruhi kekuatannya.

Kesan super El Niño kepada dunia

Menurut portal Science Focus, kesan El Niño biasanya dirasai di seluruh dunia.

Antaranya termasuk kemerosotan hasil perikanan di pesisir Peru, gangguan musim monsun serta pengurangan hujan di India, China dan sebahagian besar Asia Tenggara.

Menurut Roundy, kawasan yang lazimnya menerima hujan lebat boleh mengalami kemarau dan kebakaran hutan, manakala kawasan kering pula mungkin berdepan hujan luar biasa serta banjir besar.

Kredit: Flow/AI

Di Amerika Syarikat, kesan El Niño dijangka mula dirasai seawal musim panas tahun depan.

Kebiasaannya, kawasan Midwest dan barat negara itu menerima hujan lebih banyak ketika musim panas, manakala kawasan Pantai Teluk hingga Pantai Timur mengalami keadaan lebih kering.

Menjelang musim sejuk, El Niño yang semakin kuat biasanya mengaktifkan laluan ribut di bahagian selatan negara itu dan membawa hujan lebat dari California hingga ke Pantai Timur.

Fenomena El Niño kuat pada tahun 1982 dan 1997 misalnya pernah menyebabkan banjir besar di Amerika Syarikat, sementara kawasan utara negara itu mengalami musim sejuk yang lebih panas daripada biasa.

Salah satu kesan positif yang mungkin berlaku ialah pengurangan aktiviti taufan di Lautan Atlantik kerana perubahan angin menghalang pembentukan ribut tropika.

Dunia memasuki situasi yang belum pernah dialami

Portal Science Focus menjelaskan bahawa situasi kali ini lebih membimbangkan kerana dunia kini sudah berada dalam keadaan suhu global yang jauh lebih panas berbanding dahulu.

Difahamkan, suhu dunia ketika ini dilaporkan melebihi 1.4 darjah Celsius berbanding era pra-industri.

Jika super El Niño berlaku dalam keadaan sebegini, sistem iklim dunia berpotensi memasuki keadaan yang belum pernah direkodkan dalam sejarah manusia moden.

Saintis iklim dari University of California Agriculture and Natural Resources, Daniel Swain berkata dunia belum pernah mengalami El Niño sangat kuat ketika suhu global sedia ada sudah berada pada tahap setinggi ini.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan fenomena cuaca ekstrem seperti banjir, kemarau dan kebakaran hutan yang lebih dahsyat menjelang 2026 hingga 2027.

"Salah satu daripada dua tahun tersebut, atau mungkin kedua-duanya sekali, berpotensi mencatat rekod baharu suhu global tertinggi dunia," menurutnya lagi.

Kredit: Flow/AI

Kebakaran hutan juga dijangka menjadi ancaman besar, khususnya di kawasan yang biasanya lembap seperti Amazon dan beberapa wilayah di Oceania.

Saintis turut memberi amaran bahawa kesan super El Niño mungkin tidak berakhir sebaik suhu Lautan Pasifik kembali normal.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications pada Disember 2025 mendapati fenomena El Niño yang sangat kuat boleh mencetuskan perubahan iklim jangka panjang di beberapa rantau dunia.

Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko ialah Pasifik Utara Tengah, Teluk Mexico, Afrika Timur, Amazon, Australia Tengah dan rantau maritim sekitar Indonesia.