Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Super El Niño” Dijangka Kembali, Ini Maksud & Kesannya Kepada Dunia
Umum ketahui, fenomena El Niño bukanlah sesuatu yang asing dan sering berlaku secara berkala.
Namun, apabila ia berlaku dalam bentuk yang lebih kuat atau dikenali sebagai “Super El Niño”, impaknya menjadi jauh lebih besar dan membimbangkan.
Justeru, hari ini SK ingin kongsikan maksudnya menurut portal The Guardian.
Menurut portal The Guardian, lautan dan atmosfera saling berkait rapat. Oleh itu, pakar sentiasa memerhatikan suhu dan keadaan lautan untuk meramalkan corak cuaca global.
El Niño berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik tropika menjadi lebih panas daripada biasa.
Ia merupakan salah satu daripada tiga keadaan utama, selain La Niña iaitu apabila suhu lebih sejuk daripada biasa dan keadaan neutral apabila suhu berada pada paras normal.
Ketiga-tiga keadaan ini dikenali sebagai El Niño-Southern Oscillation (ENSO), yang biasanya terbentuk pada musim bunga di hemisfera utara dan berlaku setiap tiga hingga tujuh tahun.
Perubahan suhu laut antara 1 hingga 3 darjah Celsius boleh memberi kesan besar terhadap hujan, kemarau, suhu panas dan bencana iklim di pelbagai kawasan.

Semasa El Niño berlaku, angin yang biasanya menolak air panas ke arah barat menjadi lemah atau berubah arah, malah ia turut menyebabkan air laut di kawasan tersebut menjadi lebih panas.
Jika suhu meningkat sekurang-kurangnya 0.5 darjah Celsius daripada biasa, ia boleh memberi kesan besar kepada cuaca global dan sering meningkatkan suhu dunia ke tahap baharu.
Setiap kejadian El Niño adalah berbeza dari segi kekuatan dan kesannya.
Namun, ramalan ENSO membantu negara bersedia menghadapi perubahan cuaca ekstrem, yang semakin penting dalam dunia yang semakin panas.
Portal The Guardian menjelaskan bahawa El Niño boleh mengubah sistem atmosfera secara besar-besaran.
Ia mengubah aliran jet dan corak hujan, menyebabkan ribut lebih kuat di sesetengah kawasan dan kemarau di kawasan lain.
Selain itu, ia juga boleh meningkatkan suhu global buat sementara waktu.
Sebagai contoh, super El Niño pada tahun 2015 menyebabkan kemarau teruk di Ethiopia, kekurangan bekalan air di Puerto Rico, serta musim taufan yang lebih kuat di Pasifik.
Kitaran ini biasanya menyebabkan kemarau dan suhu panas di Australia, Afrika selatan dan tengah, India serta beberapa kawasan di Amerika Selatan termasuk hutan Amazon.
Sebaliknya, hujan lebat mungkin berlaku di selatan Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Asia Selatan.

Walaupun hujan lebat boleh membantu kawasan yang kekurangan air, ia tidak semestinya menyelesaikan masalah kemarau sepenuhnya.
Ini kerana banyak kemarau berpunca daripada suhu yang tinggi, bukan sekadar kekurangan hujan.
Selain itu, kawasan yang kering sukar pulih hanya dengan satu musim hujan.
Untuk memulihkan keadaan sepenuhnya, hujan yang sangat lebat diperlukan, namun ini juga boleh menyebabkan banjir dan kerosakan besar serta risiko kehilangan nyawa.
Portal The Guardian turut menjelaskan maksud “Super El Niño” merujuk kepada El Niño yang sangat kuat, biasanya apabila suhu permukaan laut meningkat sekurang-kurangnya 2 darjah Celsius.
Kejadian seperti ini jarang berlaku dan hanya beberapa kali direkodkan sejak tahun 1950.
Semakin tinggi peningkatan suhu, semakin besar kesan yang akan berlaku.

Pakar menganggarkan terdapat peluang satu dalam empat untuk fenomena ini berlaku menjelang akhir tahun, walaupun ramalan pada musim bunga masih kurang tepat.
Beberapa pakar menyatakan bahawa terdapat potensi untuk El Niño kali ini menjadi antara yang paling kuat dalam lebih 100 tahun.
Model ramalan juga menunjukkan arah yang sama, iaitu kemungkinan berlakunya El Niño yang sangat kuat dengan kesan besar terhadap iklim global.
Walaupun model menunjukkan kemungkinan tinggi, terdapat juga faktor lain yang dijelaskan oleh portal The Guardian seperti pemanasan global.
Fenomena ini boleh mempengaruhi bacaan dan menjadikan El Niño kelihatan lebih kuat daripada keadaan sebenar.
Selain itu, musim bunga dikenali sebagai tempoh yang sukar untuk membuat ramalan tepat kerana keadaan iklim sedang berubah.
Difahamkan, ramalan boleh berubah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut The Guardian, kebarangkalian El Niño berlaku masih tinggi, namun tahap kekuatannya masih belum dapat dipastikan.
Fenomena El Niño sebelum ini pada tahun 2023 hingga 2024 merupakan antara yang terkuat pernah direkodkan dan menyumbang kepada suhu global yang mencatat rekod pada tahun 2024.
Ramalan bermusim seperti El Niño dan La Nina amat penting kerana ia membantu mengurangkan kerugian ekonomi serta menjadi panduan dalam sektor penting seperti pertanian, kesihatan, tenaga dan pengurusan air.
Selain itu, ia juga memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana dan usaha menyelamatkan nyawa.