Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Ada Sejarah, Ini Sebab Warna "Pink" Untuk Perempuan & Biru Untuk Lelaki

biru
Kredit: ImageFX

Rupanya Ada Sejarah, Ini Sebab Warna "Pink" Untuk Perempuan & Biru Untuk Lelaki

Sejak kebelakangan ini, trend “gender reveal” semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Majlis ini biasanya diadakan untuk mengumumkan jantina bayi kepada keluarga dan rakan-rakan, sama ada melalui kek berwarna, belon, asap berwarna atau pelbagai idea kreatif lain.

Namun di sebalik kemeriahan tersebut, pernahkah kita terfikir kenapa warna merah jambu sering dikaitkan dengan bayi perempuan, manakala biru pula untuk bayi lelaki?

Seolah-olah sudah menjadi aturan tidak rasmi, pilihan warna ini digunakan hampir dalam setiap majlis gender reveal tanpa dipersoalkan.

Hari ini, SK ingin kongsikan sejarah di sebaliknya daripada portal Reader's Digest.

Sejarah warna bayi

Menurut portal Reader's Digest, sebelum Perang Dunia Pertama, warna merah jambu dan biru langsung tidak dikaitkan dengan jantina.

Pada zaman dahulu, semua bayi biasanya dipakaikan gaun berwarna putih.

Difahamkan, ini kerana ia memudahkan penukaran lampin dan pakaian putih boleh dilunturkan untuk digunakan semula.

Malah, pakaian kanak-kanak sehingga umur enam atau tujuh tahun dianggap uniseks. Ibu bapa boleh guna pakaian yang sama untuk semua anak.

Apabila warna pastel mula diperkenalkan sekitar pertengahan abad ke-19, termasuk merah jambu, biru dan kuning, ia masih tidak dikaitkan dengan jantina.

Kredit: ImageFX

Warna merah jambu asalnya untuk lelaki & biru untuk perempuan

Portal Reader's Digest turut menjelaskan yang perubahan mula berlaku sekitar tahun 1918 apabila sebuah majalah mencadangkan bahawa “merah jambu sesuai untuk lelaki dan biru untuk perempuan.”

Ya, terbalik daripada apa yang kita faham hari ini. Pada ketika itu, warna merah jambu yang berkait dengan merah dianggap lebih kuat dan sesuai untuk lelaki, manakala biru yang lembut dikaitkan dengan perempuan.

Namun, idea mengaitkan warna dengan jantina ini sebenarnya dipercayai datang daripada strategi pemasaran.

Pengeluar pakaian melihat peluang untuk menggandakan jualan dengan membezakan pakaian mengikut jantina.

Menjelang tahun 1927, banyak gedung membeli-belah di Amerika Syarikat turut menyokong idea ini.

Malah, ada yang secara terbuka mencadangkan ibu bapa memakaikan bayi lelaki dengan warna merah jambu.

Kredit: ImageFX

Perubahan warna bayi

Pada sekitar tahun 1940-an, portal Reader's Digest menjelaskan bahawa pengeluar mula menukar semula konsep ini dengan menetapkan merah jambu untuk perempuan dan biru untuk lelaki seperti yang kita kenal hari ini.

Kemudian, pada era pergerakan pembebasan wanita, pakaian bayi kembali kepada konsep uniseks.

Trend ini berterusan sehingga sekitar 1980-an, apabila teknologi perubatan membolehkan ibu bapa mengetahui jantina bayi sebelum lahir.

Sejak itu, ramai ibu bapa mula membeli pakaian dan barangan bayi mengikut jantina, termasuk mengadakan majlis “gender reveal”.

Kredit: ImageFX

Sumber:www.rd.com