Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gagal 139 Kali, Lelaki Akhirnya Lulus Ujian Teori Memandu Selepas 9 Tahun
Seorang penduduk di Tarnów, Poland raih perhatian ramai apabila terpaksa mengambil sebanyak 139 kali percubaan sebelum akhirnya lulus ujian teori memandu, iaitu syarat wajib untuk mendapatkan lesen memandu, lapor portal Oddity Central.
Di Poland, seperti juga negara-negara Eropah lain, calon pemandu perlu lulus ujian teori berasaskan komputer sebelum dibenarkan menduduki ujian praktikal memandu.
Kegagalan dalam ujian teori bermakna mereka tidak boleh meneruskan ke peringkat seterusnya.

Kebiasaannya, kebanyakan calon hanya memerlukan antara satu hingga tiga percubaan untuk lulus, namun dalam kes tertentu, ia boleh mengambil masa bertahun-tahun dengan puluhan kali percubaan.
Pusat Trafik Jalan Raya Małopolska di bandar Tarnów memaklumkan bahawa seorang lelaki tempatan berjaya lulus ujian teori selepas 139 percubaan.
Difahamkan, lelaki tersebut telah mencuba sejak tahun 2017 dan membelanjakan kira-kira €1,800 (lebih kurang RM9,000) untuk yuran peperiksaan.
Pengarah pusat ujian berkenaan, Paweł Gurgul berkata, individu tersebut tidak pernah berputus asa walaupun berulang kali gagal, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya lesen memandu bagi dirinya.
Kini, lelaki itu sedang menunggu giliran untuk menduduki ujian praktikal.
Menurut Gurgul dalam portal Oddity Central, selepas beberapa kali gagal, pihaknya mendapati calon tersebut hanya menggunakan versi demo program latihan yang tidak merangkumi semua soalan sebenar peperiksaan.
Bagaimanapun, selepas beralih kepada versi penuh yang mengandungi keseluruhan set soalan, prestasinya dilihat semakin meningkat apabila jumlah kesilapan semakin berkurangan sehingga akhirnya berjaya lulus.

Namun begitu, cabaran lelaki tersebut masih belum berakhir kerana dia perlu lulus ujian praktikal memandu.
Sekiranya gagal, dia perlu mengulang semula ujian teori sebelum dibenarkan mencuba sekali lagi untuk mendapatkan lesen memandu.
Menurut portal Oddity Central, walaupun jarang berlaku, 139 percubaan bukanlah rekod tertinggi di negara itu.
Media Poland melaporkan seorang individu dari Piotrków Trybunalski pernah mengambil masa 17 tahun dengan 163 percubaan sebelum berjaya lulus ujian teori memandu.