Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Hidap Psikosis Selepas Ikuti Nasihat ChatGPT
Seorang pesakit yang mengikuti saranan pemakanan daripada program AI generatif telah dimasukkan ke hospital dan diletakkan di bawah tahanan psikiatri secara paksa selama tiga minggu, lapor portal Popular Science.
Menurut doktor, lelaki berusia 60 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit psikiatri atau masalah kesihatan itu hadir ke unit kecemasan hospital dengan mendakwa jirannya telah meracuninya.
Pada peringkat awal, dia tidak memaklumkan tentang sebarang ubat atau suplemen yang diambil dan pemeriksaan fizikal, serta tanda vitalnya didapati normal.
Namun, keadaan berubah selepas dia dimasukkan ke wad. Lelaki itu mengakui mempunyai pelbagai sekatan diet dan menyuling airnya sendiri di rumah.
Walaupun mengadu sangat dahaga, dia menjadi paranoid terhadap air yang diberikan oleh kakitangan hospital.
Dalam tempoh 24 jam pertama, pesakit menunjukkan peningkatan paranoia serta mengalami halusinasi visual dan pendengaran.
Selepas cuba melarikan diri, dia dikenakan tahanan psikiatri secara paksa kerana dianggap tidak berupaya menjaga dirinya.
Hasil perundingan dengan pakar kawalan racun serta ujian makmal, bromisme merupakan punca paling berkemungkinan terhadap tingkah laku tidak menentunya, menurut portal Popular Science.
Selepas beberapa hari menerima rawatan cecair intravena, pembetulan elektrolit dan ubat antipsikotik risperidone, doktor akhirnya memperoleh penjelasan penuh.
Pesakit memaklumkan bahawa dia mula mencari cara mengurangkan garam dalam diet selepas membaca tentang kesan negatifnya terhadap kesihatan.

Namun, dia bukan sekadar mahu mengurangkan natrium, sebaliknya cuba menghapuskannya sepenuhnya.
Berbekalkan latar belakang pengajian pemakanan ketika di kolej, dia menjalankan eksperimen sendiri untuk menyingkirkan klorida daripada dietnya.
Selepas mendapatkan maklumat daripada ChatGPT, sistem itu didakwa mencadangkan agar klorida digantikan dengan bromida.
Menurut portal Popular Science, lelaki tersebut kemudian mengamalkan cadangan itu selama tiga bulan.
Penulis laporan kes menyatakan bahawa kemungkinan pesakit tersalah tafsir jawapan yang diberikan bergantung kepada cara soalan diajukan.
Mereka tidak mempunyai akses kepada rekod perbualan sebenar, justeru teori tersebut kekal sebagai spekulasi.

Namun, ujian mereka sendiri menggunakan ChatGPT 3.5 menunjukkan jawapan yang menyenaraikan bahawa bromida sebagai pengganti klorida boleh berlaku tanpa amaran kesihatan khusus.
Keadaan fizikal pesakit akhirnya kembali normal dan simptom psikosisnya beransur pulih sepanjang tiga minggu menerima rawatan.
Pemeriksaan susulan dua minggu selepas discaj mengesahkan dia berada dalam keadaan baik.
Kes ini menjadi peringatan bahawa walaupun teknologi AI semakin meluas digunakan, urusan berkaitan kesihatan dan perubatan seharusnya dirujuk kepada profesional bertauliah bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini.