SINGAPURA, 10 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) mengeluarkan nasihat keselamatan produk bagi mesin pengering pakaian ELBA EBD 602S susulan enam insiden kebakaran membabitkan model itu yang dilaporkan dalam tempoh lima bulan lepas.
Pejabat Keselamatan Produk Pengguna (CPSO) di bawah CCS dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran berkenaan.
Menurut CPSO, walaupun model mesin pengering pakaian itu tidak lagi dijual di kedai runcit di Singapura, pengguna yang masih memiliki atau menggunakan peralatan berkenaan dinasihatkan supaya lebih berhati-hati berikutan risiko kebakaran yang tinggi.
“Memandangkan mesin pengering ini telah digunakan sejak sekian lama, kami amat menggalakkan pengguna supaya sentiasa memantau peralatan berkenaan ketika digunakan dan tidak membiarkannya beroperasi tanpa pengawasan.
“Jika boleh, hentikan penggunaannya. Seperti biasa, sila rujuk manual pengguna ketika mengendalikan peralatan berkenaan,” menurut CPSO.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik sahaja siasatan selesai.

