Penggunaan mesin pengering pakaian sememangnya memudahkan urusan harian, lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin menjimatkan masa ketika menguruskan pakaian.
Namun, cara menyusun pakaian di dalam mesin pengering turut menjadi perhatian apabila seorang pengguna Threads, aliffshazwannn, mempersoalkan sama ada kaedah menyusun pakaian satu persatu seperti yang dikongsikan itu mampu membantu pakaian kering dengan lebih baik.
“Betulkah kalau susun pakaian seperti ini dalam mesin pengering, pakaian akan menjadi lebih kering dengan elok?” soalnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi apabila pengguna media sosial tampil berkongsi pandangan serta pengalaman masing-masing menggunakan mesin pengering.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, iman_inside, berpendapat kaedah tersebut kurang praktikal kerana tujuan menggunakan mesin pengering adalah untuk menjimatkan masa.
Katanya, menyusun pakaian satu persatu boleh mengambil masa, sedangkan pakaian yang masih belum kering boleh dimasukkan semula ke dalam mesin untuk satu pusingan tambahan.
“Entahlah, kalau betul pun saya tidak akan buat. Tujuan guna mesin pengering adalah untuk menjimatkan masa. Kalau perlu susun satu persatu, masa pula yang terbuang. Kalau tidak kering, pusing sekali lagi sahaja. Tetapi tidak mengapa kalau anda semua ada banyak masa,” komennya.
Seorang lagi pengguna, nurfatinajmi, pula berseloroh bahawa cara tersebut mungkin boleh dilakukan sekiranya tiada orang lain sedang menunggu giliran menggunakan mesin pengering.
“Tetapi itulah, kalau tidak ramai orang menunggu, tidak mengapa. Kalau ramai, orang di belakang pandang kita seolah-olah mahu telan,” katanya secara berseloroh.
Sementara itu, thateurasiangirl mengakui dia juga sering menyusun pakaian dengan kemas sebelum memasukkannya ke dalam mesin pengering, namun mengakui proses itu mengambil masa yang agak lama.
Pengguna lain, shanaz.zainal, turut berkongsi bahawa dia melakukan perkara sama, khususnya bagi pakaian yang mempunyai cetakan.
Katanya, langkah itu dilakukan kerana bimbang bahagian cetakan pada pakaian melekat antara satu sama lain.
Tidak kurang juga, azwawany mencuit hati apabila berseloroh bertanyakan sama ada pakaian tersebut turut digantung menggunakan penyangkut baju di dalam mesin pengering kerana beranggapan cara itu mungkin lebih mudah untuk mengeringkannya.

