PUTRAJAYA, 27 Nov (Bernama) -- Malaysia berpotensi muncul sebagai negara contoh kepada umat Islam di seluruh dunia, bersandarkan keupayaannya dalam aspek pembangunan serta peranan generasi muda negara.
Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi berkata beliau menaruh harapan tinggi terhadap Malaysia dan mahu kepimpinan negara terus mempergiat usaha ke arah merealisasikan potensi berkenaan.
“(Saya) mengharap agar Malaysia menjadi negara contoh, negara model dan saya letak harapan yang tinggi agar Malaysia menjadi negara model umat Islam yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.
Ucapan beliau diterjemahkan oleh kenalannya, Ustaz Firdaus Kadir.
Dalam pada itu, Sheikh Ali Muhyiddin turut menekankan kepentingan peranan generasi muda dalam membina pemikiran Islam yang sahih dan seimbang bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Malaysia negara contoh kepada dunia Islam.
“Golongan muda seharusnya lebih banyak bekerja berbanding bercakap,” katanya sambil menyatakan kegembiraan melihat kehadiran ramai golongan muda pada majlis berkenaan.
Penganjuran Majlis Ilmu MADANI di kediaman rasmi Perdana Menteri itu merupakan antara usaha untuk memupuk masyarakat yang mencintai ilmu serta menghayati kepentingan adab dan akhlak.
Majlis berkenaan diilhamkan oleh Anwar selepas menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022 dan kini turut dianjurkan di seluruh negara.

