Siakap Keli
Peragut Ditangkap 10 Meter Dari Lokasi Kejadian
Gambar: Bernama

Lelaki Ragut Beg Milik Penghantar Makanan Ditahan Polis

Lelaki Ragut Beg Milik Penghantar Makanan Ditahan Polis

KAJANG — Cubaan seorang lelaki meragut beg silang milik seorang penghantar makanan gagal selepas berjaya ditangkap oleh orang awam di kawasan Bandar Mahkota Cheras semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung mangsa berusia 35 tahun telah diragut oleh suspek di lokasi kejadian dengan menaiki sebuah motosikal.

“Hasil bantuan orang awam, suspek telah berjaya ditangkap dalam jarak 10 meter dari lokasi kejadian mangsa diragut,” katanya.

Bagaimanapun menerusi rakaman video oleh orang awam, tular di media sosial yang memaparkan suspek berusia 22 tahun telah ditangkap.

BACA JUGA: Diragut Ketika Menunggang Motor, Wanita Tak Sangka Peragut Adalah Suami Sendiri

Berikutan itu, pihak polis berjaya merampas semula kesemua barangan yang diragut suspek seperti wang tunai, jam tangan, telefon bimbit, serta kad-kad dokumen peribadi ( kad pengenalan diri, lesen memandu dan kad bank).

“Selain beberapa peralatan seperti spanar, playar, kunci khas bentuk L, pemutar skru, pisau lipat dan sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan oleh suspek semasa kejadian,” maklumnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zaid, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan lima rekod dadah. Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Meth.

Susulan itu, suspek bakal direman selama tujuh hari bermula 19 Januari hingga 25 Januari bagi membantu siasatan lanjut termasuk kes-kes ragut di sekitar daerah berkenaan.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Kesalahan merompak tanpa senjata) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihak polis menyeru orang awam atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini memaklumkan kepada pihak polis atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau secara atas talian 019-4565502 (Pengawai Penyiasat Insp, Mohd Raziman Rasid) bagi membantu siasatan.

Sumber: Polis Daerah Kajang

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?