Siakap Keli
Kredit: Heritage Global Partners

Ratusan Barang Dilelong, Twitter Dilapor Jual Patung Logo Burung Dengan Harga Lebih RM400k

SAN FRANCISCO – Syarikat media sosial terkenal, Twitter dilapor telah melelong ratusan barangan berharga di ibu pejabat Twitter di San Francisco pada Rabu.

Memetik laporan CNA, sebuah patung burung yang menjadi simbol kepada platform Twitter turut dilelong dengan harga mencecah AS$100,000 (RM430,800), malah barang-barang lain seperti perabot, hiasan dan peralatan dapur turut dijual dalam lelongan tersebut.

Kredit: Heritage Global Partners
Kredit: Heritage Global Partners

Difahamkan, lelongan yang berjalan secara dalam talian itu dilakukan oleh firma perkhidmatan lelongan, Heritage Global Partners selama lebih daripada 24 jam.

Antara barang-barang lain yang turut dilelong adalah mesin espreso, meja ergonomik, televisyen, pengecas basikal elektrik, ketuhar piza dan hiasan berbentuk tanda ‘@’.

Kredit: Heritage Global Partners

Pun begitu, ramai pengguna media sosial menyatakan bahawa barangan terpakai itu dijual dengan harga yang mahal kerana ia dijual melebihi harga runcit.

Lelongan yang dilakukan oleh Elon Musk itu juga bertujuan untuk mengurangkan kos setelah membeli platform Twitter yang berharga AS$44 bilion pada Oktober 2022.

Kredit: Heritage Global Partners

Pada Disember lalu, Elon Musk berkata bahawa pemotongan kos di Twitter itu telah membantu sedikit sebanyak kewangan syarikat yang dianggap terjejas teruk ketika itu.

Malah, dia turut memaklumkan dalam sebuah forum bahawa syarikat itu terpaksa menghabiskan AS$3 bilion dolar setahun sekiranya dia tidak melakukan sebarang perubahan termasuk memecat kira-kira separuh daripada 7,500 pekerja Twitter.

Selain itu, dia turut menamatkan beberapa faedah yang diberikan kepada pekerja termasuk makanan percuma.

Kredit: Heritage Global Partners

Bagaimanapun, tindakannya telah mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai bahawa syarikat tersebut bakal berdepan dengan masalah kerana tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan penyederhanaan kandungan (content) selain menggusarkan pihak kerajaan dan syarikat pengiklanan.

Dalam pada itu, Musk menjelaskan bahawa strateginya adalah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran sambil membina semula hasil keuntungan, malah perkhidmatan langganan baharu iaitu Twitter Blue yang berharga AS$8 itu dijangka dapat membantu syarikatnya mencapai matlamat tersebut.

Terdahulu, syarikat Twitter yang telah diterajui oleh Elon Musk itu telah menyebabkan keadaan menjadi huru-hara apabila dia melakukan pemberhentian secara besar-besaran.

Sumber: CNA, BBC

Farah Nabilah