Siakap Keli

PERKESO, KSM Sampaikan Sumbangan Buat Ibu Tunggal & Anak Yatim, Bantu Persiapan Tahun Baharu Cina

Kuala Lumpur, 19 Jan – PERKESO melalui Menteri Sumber Manusia, YB V. Sivakumar telah menyampaikan bantuan kepada 160 individu kurang bernasib baik sempena Sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Bantuan tersebut telah disampaikan semasa Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Perkeso 2023 yang diadakan bagi meraikan golongan yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, anak yatim dan pencarum PERKESO di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada Khamis lalu.

“Penganjuran majlis seperti ini oleh PERKESO adalah satu inisiatif yang cukup murni, apatah lagi dalam kita bergembira, kita tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik seperti ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim piatu dan pencarum PERKESO yang ditimpa musibah,” katanya pada Khamis.

“Semoga sumbangan yang berupa angpow, hamper dan bayaran faedah ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan mereka, terutamanya tatkala membuat persiapan menyambut Tahun Baharu Cina,” tambahnya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), Sivakumar berkata, Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia yang memperkenalkan perlindungan tersebut bagi suri rumah. Justeru, aktiviti promosi, libat urus serta kempen perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“KSM telahpun meletakkan sasaran 500,000 wanita di seluruh negara untuk mendaftar dan mencarum dengan SKSSR pada tahun ini,” katanya menambah skim tersebut terbuka kepada semua suri rumah sama ada sepenuh atau separuh masa, bujang atau berkahwin serta ibu tunggal yang berusia bawah 54 tahun.

Mengulas lanjut, Sivakumar mengesahkan bahawa enam waris mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali telah menerima faedah-faedah PERKESO termasuk Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan, Akta 4.

“Mereka ini merupakan ibu, ayah, suami atau anak kepada mangsa tragedi tanah runtuh tersebut. Saya berharap bayaran berkala Pencen Penakat PERKESO sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup, walaupun ianya tidak akan dapat mengganti insan tersayang yang telah pergi buat selamanya,” katanya di samping mengucapkan takziah buat keluarga mangsa.

Amira

Love yourself.