Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Akad Nikah Bertukar Cemas, Jurunikah Dilapor Pengsan
KUALA TERENGGANU — Majlis akad nikah pasangan pengantin bertukar cemas selepas jurunikah dilaporkan pengsan secara tiba-tiba sehingga terpaksa dikejarkan ke klinik dalam satu kejadian pada Ahad.
Memetik Sinar Harian, sewaktu menyampaikan khutbah nikah yang turut dihadiri oleh sekitar 80 tetamu di Surau Darul Taqwa, Perumahan Kuala Telemong, jurunikah terbabit yang berusia lingkungan 78 tahun secara tiba-tiba terbaring sebelum pengsan.
Menurut keluarga pengantin perempuan, Aidie Amin Yatim, sewaktu majlis pernikahan adik iparnya, Nurul Nadia Atiqah Abd Rahman, 26, dan pasangan Muhammad Khairul Nizam Md Zaid, 26, kejadian tidak diduga itu berlaku sekitar jam 11 pagi.
“Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba menyebabkan semua yang hadir cemas dan majlis yang berlangsung tergendala hampir setengah jam kerana kami terpaksa mencari jurunikah baharu bagi menggantikan tempat jurunikah tersebut.
“Mujurlah majlis akad nikah dapat diteruskan selepas menemui seorang lagi jurunikah yang kebetulan sedang sarapan di sebuah kedai makan bagi menggantikan jurunikah yang terpaksa dikejarkan ke klinik,” jelasnya kepada Sinar Harian pada Isnin.
BACA JUGA: Syamsul Yusof Kongsi Berita Gembira, Sah Bernikah Dengan Ira Kazar Di Thailand
Tambahnya lagi, mangsa kini telah sedar dan berada dalam stabil selepas kejadian itu.
Difahamkan, jurunikah itu tetap menguatkan dirinya untuk hadir ke upacara yang diadakan itu walaupun mengalami darah tinggi dan agak uzur.
“Jurunikah yang dikenali dengan gelaran Ayoh Ngoh Suf adalah orang lama yang telah menikahkan ramai pasangan. Uniknya setiap kali menyampaikan khutbah nikah dia bukan hanya sekadar membaca melalui teks.
“Penyampaian khutbah nikah agak berbeza kerana dia seolah-olah menyampaikan ceramah bagi memastikan kandungan khutbah dihayati oleh pasangan pengantin termasuk tetamu yang hadir,” katanya menerusi Sinar Harian.
Dalam pada itu, pasangan pengantin menzahirkan rasa syukur selepas upacara akad nikah dan majlis perkahwinan telah selesai serta berjalan dengan lancar pada Ahad lalu.
Sudah tentu detik-detik tersebut akan kekal terpahat selamanya dalam diri mereka berdua, maklumnya.
Untuk makluman, majlis perkahwinan raja sehari itu turut diraikan kira-kira 1,200 tetamu termasuk keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan yang hadir di kediaman keluarga pengantin perempuan di Perumahan Kuala Telemong.
Sumber: Sinar Harian