Siakap Keli
peminat arsebal ditahan
Gambar: Jacobs Odongo Seaman / BBC

Polis Uganda Tahan Peminat Arsenal, Sakan Berarak Bawa Trofi Kejuaraan EPL Walau Liga Belum Tamat

Polis Uganda Tahan Peminat Arsenal, Sakan Berarak Bawa Trofi Kejuaraan EPL Walau Liga Belum Tamat

Polis Uganda dilapor menahan sekurang-kurangnya lapan peminat Arsenal warga tempatan yang didakwa berarak tanpa permit sambil membawa trofi simbolik kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bandar Jinja baru-baru ini.

Difahamkan, kumpulan peminat berkenaan melakukan perarakan tersebut selepas kelab utara London itu berjaya menewaskan Manchester United, dalam perlawanan ke-21 EPL yang berlangsung pada awal pagi Isnin lepas.

Jurucakap polis berkata, kesemua yang ditahan memakai jersi Arsenal dan tindakan mereka berarak tanpa permit telah melanggar peraturan kawalan tempat awam.

Menurut laporan portal berita tempatan, Daily News, salah seorang peminat Arsenal yang ditahan berkata, mereka tidak mengetahui apa kesalahan dilakukan kerana ketika itu mereka sekadar berkumpul bagi meraikan kemenangan tersebut.

Dalam pada itu, salah seorang anggota polis yang berkhidmat di bandar tersebut berkata, dia tidak dapat memahami tindakan kumpulan peminat tersebut yang meraikan kemenangan sambil mengusung trofi kerana perjalanan EPL masih panjang dan berbaki separuh musim lagi.

”Apa yang akan berlaku sekiranya tindakan tersebut mencetuskan provokasi kepada peminat kelab lain? Mereka tidak memohon permit dan kawalan keselamatan daripada polis untuk melakukan perarakan tersebut,” kata anggota polis terbabit yang mengakui turut menyokong Arsenal.

Arsenal dan Manchester United merupakan antara dua kelab EPL yang memiliki penyokong paling ramai di Uganda.

Terdahulu, Arsenal berjaya mengukuhkan kedudukan di persada liga apabila berjaya menumpaskan skuad kendalian Erik Ten Hagg dengan skor 3-2 hasil dua jaringan Eddie Nketiah dan satu gol Bukayo Saka. Manakala dua gol United disumbangkan oleh Marcus Rashford dan Lisandro Martinez.

Dengan kemenangan itu, Arsenal kini mengumpul 50 mata, lima mata di depan juara musim lepas, Manchester City.

Sumber: BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.