Seorang mangsa dilapor maut manakala tujuh lagi cedera dalam insiden tembakan besar-besaran yang berlaku semasa penggambaran muzik video dijalankan di Oakland, California pada Isnin lalu.
Memetik laporan New York Post, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6 petang di sebuah stesen minyak Valero di mana ia digunakan sebagai lokasi penggambaran muzik video.
Polis bergegas ke tempat kejadian selepas mereka dimaklumkan mengenai insiden tembakan itu, namun hanya kelongsong peluru yang ditemui di lokasi berkenaan.
Pun begitu, pihak polis kemudiannya dihubungi oleh sebuah hospital di mana kesemua mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
“Tidak lama selepas itu, polis di bahagian komunikasi kami telah menerima maklumat mengenai beberapa mangsa yang cedera ditembak. Mereka menaiki kenderaan sendiri ke sebuah hospital tempatan,” kata pegawai polis Oakland, Kim Armstead dalam satu sidang akhbar.
Ekoran kejadian, seorang remaja lelaki yang berusia 18 tahun dilapor terkorban apabila ahli keluarga mangsa mengesahkan identiti mangsa ketika berada di Hospital Highland manakala tujuh lagi mangsa yang dilaporkan cedera kini berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, pemangku Ketua Polis OPD, Darren Allison berkata tembakan tersebut berlaku ketika penggambaran muzik video sedang dijalankan.
Difahamkan, kira-kira 40 hingga 50 orang dilihat berkumpul di lokasi kejadian iaitu di blok 5900 MacArthur Boulevard.
Menurut Kapten OPD, Tony Jones, ancaman terbesar kepada pihak polis buat masa ini adalah tembakan balas dendam yang dilakukan oleh kumpulan penembak.
“Ancaman terbesar kepada kami buat masa ini adalah tembakan balas dendam daripada sebuah kumpulan penembak.
“Kami akan memberi tumpuan khas kepada individu dan kumpulan tertentu yang terlibat dalam kejadian tembakan pada malam Isnin,” katanya.
Sebelum ini, seorang lelaki turut didakwa dengan kesalahan menembak dan membunuh tujuh mangsa di Half Moon Bay, malah kejadian itu berlaku hanya beberapa jam sebelum kejadian tembakan di Oakland meragut satu nyawa.
Bukan itu sahaja, 48 jam sebelum kejadian itu, seorang lelaki dipercayai telah melepaskan tembakan semasa sambutan Tahun Baharu Cina dan telah mengorbankan 11 nyawa di Monterey Park, California.
Menurut laporan Polis Oakland, angka kematian di Oakland telah meningkat, malah terdapat lima pembunuhan dicatatkan setakat ini pada tahun 2023.
Sumber: New York Post, The Oaklandside