Siakap Keli
Kredit: Shin Min Daily News

Beli Di Pasar, Wanita Terkejut Siang Ikan Bawal Temu Dipercayai Tujuh Biji Batu Ladung Dalam Perut

Beli Di Pasar, Wanita Terkejut Siang Ikan Bawal Temu Dipercayai Tujuh Biji Batu Ladung Dalam Perut

Seorang wanita Singapura terkejut apabila menemui tujuh objek dipercayai batu ladung berada dalam perut ikan bawal putih yang dibelinya untuk juadah Tahun Baru Cina baru-baru ini, lapor Shin Min Daily News.

Menurut foto yang dikongsikan oleh suami kepada wanita itu, fizikal objek berkenaan dilaporkan sudah kelihatan berkarat.

Keluarga berkenaan bagaimanapun difahamkan tidak membuang ikan tersebut dan menyediakannya sebagai salah satu juadah pada sambutan tersebut. Mereka juga dilapor tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas menikmati ikan berkenaan.

Kredit: Shin Min Daily News

Kisah sebelum penemuan pemberat dalam ikan tersebut

Menurut laporan Mothership.sg, isteri Xie membeli ikan tersebut di sebuah pasar raya Edgefield Plains di Punggol pada 21 Januari lepas.

Katanya lagi, ikan berkenaan dibeli untuk dijadiakan juadah menyambut hari lahir anak lelakinya yang jatuh pada hari yang sama dengan Tahun Baru Cina.

Mengakui terkejut dengan kejadian tersebut, pasangan itu bagaimanapun berpendapat ia bukan kesalahan pasar raya berkenaan.

“Semua palet logam ini hanya memilik berat kira-kira 100g sahaja. Jika pasar raya tersebut mahu menipu pelanggannya, mereka perlu meletakkan pemberat yang lebih berat,” kata Xie.

Dia pada masa yang sama turut berharap agar pasar raya berkenaan dapat menyiasat perkara ini dan mendapatkan maklumat yang tepat daripada pembekal.

Katanya lagi, kejadian ini juga adalah satu peringatan untuk semua agar memeriksa dengan teliti bahan mentah yang dibeli dan berhati-hati ketika menyediakannya, supaya bahan tersebut benar-benar selamat untuk dimakan.

Kredit: Shin Min Daily News

Balasan dari pihak pasar raya

Dalam pada itu, pasar raya berkenaan turut memberi respon terhadap pendedahan Xie dan berterima kasih kerana membawa perkara itu ke pengetahuan pihaknya.

Pasar raya tersebut bagaimanapun menafikan bahawa pihaknya bertanggungjawab meletakkan objek-objek tersebut dalam perut ikan yang dijual di fasilitinya.

“Di pihak kami, kepercayaan pelanggan terhadap pasar raya kami adalah satu keutamaan. Kami ingin memaklumkan orang ramai bahawa pihak kami sesekali tidak memasukkan sebarang pemberat dalam perut ikan yang dijual kepada pelanggan,” kata pasar raya tersebut.

Pihaknya turut mengambil langkah susulan dengan menghantar surat kepada pembekal-pembekalnya dan tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak pembekalan serta-merta sekiranya pihak yang bertanggungjawab berjaya dikenal pasti.

Rata-rata warga maya percaya objek berkenaan merupakan batu ladung yang digunakan sebagai pemberat dalam kalangan pemancing. Bagaimanapun, sukar untuk dipercayai bahawa ikan bawal tersebut memakan semua batu ladung berkenaan.

BACA: Bukan Setakat Tengok Warna Mata, Ini 6 Cara Pilih Ikan Segar Di Pasar

Sumber: Mothership.sg

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma